KENINGAU - Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan mereka di Sungai Pagalan di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai Jastey Goment, 16, dan Khend Romel Ponce Caceres, 13.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang.
Katanya, seramai 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari BBP Keningau.
"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.20 petang. Berdasarkan maklumat saksi, kedua-dua mangsa sebelum itu sedang mandi bersama beberapa rakan mereka.
"Bagaimanapun, rakan-rakan mangsa kemudian menyedari kedua-duanya hilang dan dipercayai lemas," katanya dalam kenyataan.
Severinus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan bantuan tali sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Operasi pencarian kemudiannya diperluaskan sehingga radius dua kilometer meliputi permukaan air serta tebing sungai.
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa masih belum ditemukan dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang sebelum disambung semula esok," katanya.