Tidak mahu anak taska hampa, PM hantar wakil meriahkan Hari Usahawan Cilik

Iklan
Raimi (tengah) bergambar bersama pelajar pada Hari Usahawan Cilik di Subang Jaya pada Sabtu.

SHAH ALAM - Bagi tidak menghampakan jemputan seorang murid, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Pegawai Tugas-Tugas Khas Agamanya hadir ke sekolah kanak -kanak berkenaan sempena Hari Usahawan Cilik, pada Sabtu.

Anwar berkata, pegawai tersebut, Raimi Abdul Rahim hadir mewakili beliau dan menyampaikan salam kepada murid- murid berkenaan.

Iklan
Iklan

"Memang teringin hendak hadir, namun tuntutan tugas membawa saya ke Brunei hari ini untuk mengetuai delegasi negara.Tidak mahu menghampakan anak-anak, saya minta Raimi hadir mewakili saya," ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Anwar mencuri perhatian apabila membalas jemputan seorang murid yang memanggilnya 'Uncle Anwar' dan menjemput beliau menghadiri Hari Kantin di sekolahnya pada Sabtu.

Iklan

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, Anwar memaklumkan beliau teringin untuk memenuhi jemputan murid berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memohon maaf dengan memaklumkan tidak dapat memenuhi jemputan berkenaan atas urusan di Brunei.

Iklan

Tambah Anwar, diharapkan Hari Usahawan Cilik itu menjadi pengalaman menyeronokkan buat semua murid.

Dalam masa sama beliau turut menitipkan pesanan bersahaja kepada murid-murid agar menyimpan wang keuntungan hasil jualan masing-masing.

"Semoga Hari Usahawan Cilik ini menjadi pengalaman yang menyeronokkan buat anak-anak.

"Selamat berniaga! Kalau dapat untung nanti, simpan duitnya, jangan dihabiskan semuanya di gerai sebelah pula ya," katanya.