Kelantan jangan sekadar jadi destinasi 'persinggahan' ECRL

Iklan
Kelantan perlu memastikan bukan sekadar menjadi destinasi persinggahan penumpang ECRL, sebaliknya berupaya menarik pelancong untuk tinggal lebih lama dan kembali semula. Gambar kecil:Muhammad Azrin.

KOTA BHARU - Kelantan perlu memastikan negeri ini bukan sekadar menjadi destinasi persinggahan penumpang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sebaliknya berupaya menarik pelancong untuk tinggal lebih lama dan kembali semula.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kelantan, Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata, perkara itu memerlukan persediaan menyeluruh membabitkan kemudahan pengangkutan, infrastruktur awam dan kualiti perkhidmatan pelancongan.

Iklan
Iklan

Kata beliau, kesiapsiagaan Kelantan menerima impak ECRL tidak seharusnya diukur berdasarkan kesiapan stesen dan pengoperasian tren semata-mata, tetapi sejauh mana keseluruhan ekosistem pelancongan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada pengunjung.

Ujarnya, antara cabaran yang perlu diberikan perhatian ialah kemudahan pengangkutan dari stesen ke destinasi pelancongan, kebersihan kawasan tumpuan pelancong serta kemampuan pemain industri memenuhi peningkatan permintaan.

Iklan

"Kelantan berada pada landasan positif untuk menerima impak ECRL, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperkukuhkan.

"ECRL akan meningkatkan aksesibiliti ke Kelantan, memudahkan pergerakan pelancong, membuka peluang pelaburan baharu serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.

Iklan

"Persoalannya bukan sekadar berapa ramai pelancong yang akan datang, tetapi sejauh mana kita mampu memberikan pengalaman terbaik sehingga mereka mahu datang semula," katanya.

Menurut beliau, ECRL dilihat sebagai satu 'game changer' kepada sektor pelancongan Kelantan kerana manfaatnya bukan sahaja dinikmati industri perhotelan, malah restoran, pengusaha inap desa, pengangkutan, agensi pelancongan, peniaga kecil dan industri berkaitan.

Bagaimanapun ujarnya, pemain industri perlu membuat persediaan bukan sahaja dari segi kapasiti penginapan, malah kualiti, profesionalisme dan daya saing bagi memenuhi keperluan pengunjung.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pelancongan dan pemain industri amat penting bagi memastikan peluang besar dibawa ECRL dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berharap projek berkenaan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pelancongan Kelantan secara lebih menyeluruh, sekali gus memberikan manfaat kepada komuniti dan pemain industri tempatan.