KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperkenalkan sistem berasaskan web, e-Comel bagi membolehkan gejala autisme dalam kalangan kanak-kanak seawal dilahirkan hingga enam tahun dapat dikesan lebih awal.
Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sistem itu dibangunkan khusus bagi membantu ibu bapa membuat saringan awal sebelum anak mendapatkan pengesanan klinikal daripada pegawai perubatan.
Menurut beliau, sistem berkenaan dilengkapi modul pengesanan melalui soalan tertentu yang akan menjana skor bagi membantu menilai tahap perkembangan kanak-kanak.
"Saya difahamkan sistem ini merupakan antara yang terawal seumpamanya di Malaysia bagi tujuan pengesanan awal kanak-kanak," katanya semasa merasmikan Program Kesedaran Ibu Bapa Asnaf Terhadap Intervensif Awal Perkembangan Anak di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein.
Beliau memberitahu, usaha itu amat penting khususnya kepada golongan asnaf yang mungkin kurang mendapat akses kepada maklumat berkaitan autisme dan intervensi awal.
Ujarnya, MAIK bimbang kanak-kanak dalam kalangan keluarga asnaf yang mempunyai gejala autisme tidak mendapat pemulihan pada peringkat awal sehingga melepasi usia enam tahun.
"Apabila melepasi umur enam tahun, pemulihan ini menjadi lebih sukar. Pada masa itu kita agak terlewat untuk melakukan pemulihan.
"Sebab itulah kita membawa maklumat ini kepada golongan asnaf supaya pemulihan dapat dibuat di peringkat awal," katanya.
Menurut Tengku Mohamad Rizam, sistem itu turut menyediakan modul e-pembelajaran bagi membolehkan ibu bapa mendapatkan panduan untuk membantu perkembangan dan pembelajaran anak-anak autisme.
Jelasnya, sistem tersebut dibangunkan hasil kerjasama MAIK, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysa (USM).
Menurut beliau, sistem berkenaan diberikan secara percuma dan ibu bapa boleh menggunakannya sendiri bagi membuat penilaian awal terhadap anak masing-masing.
"Web-based ini membolehkan ibu bapa membuat penilaian sendiri untuk anak-anak mereka.
"Maklumat daripada penilaian itu kemudiannya boleh dikumpulkan untuk dibuat penilaian lanjut," katanya.
Ujar beliau sistem itu berpotensi diperluaskan untuk digunakan di negeri-negeri lain bagi membantu lebih ramai ibu bapa mengesan gejala autisme pada peringkat awal.
Katanya, pembangunan sistem berkenaan bermula daripada idea pelajar UKM GSB yang bekerjasama dengan USM bagi menghasilkan satu kemudahan yang boleh dimanfaatkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta pusat informasi OKU.
Tengku Mohamad Rizam memberitahu, intervensi awal bukan sahaja penting untuk membantu perkembangan kanak-kanak, malah berpotensi mengurangkan beban jangka panjang terhadap kerajaan.
"Kita tidak mahu ia menjadi satu liabiliti baharu kepada kerajaan dan negara. Menerusi intervensi awal, kita berharap anak-anak ini dapat dipulihkan dan selain daripada menjadi liabiliti, ia menjadi satu peluang serta membawa produktiviti kepada negara," katanya.