BAYAN LEPAS - Cubaan seorang lelaki warga Indonesia menyeludup barangan disyaki hidupan liar berupa tanduk haiwan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTAPP) gagal selepas dikesan pihak berkuasa pada Khamis.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, suspek berusia 57 tahun yang menaiki penerbangan China Southern dari Guangzhou, China, itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap bagasinya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan itu menemukan sebanyak 45 unit barangan yang disyaki tanduk haiwan.
"Barangan disyaki hidupan liar berkenaan dibawa tanpa kebenaran atau dokumen sah di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716.
"Kesemua barangan berkenaan disita dengan anggaran nilai RM5,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
AKPS berkata, kesemua barangan kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk siasatan lanjut.
"AKPS menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, khususnya melibatkan pemerdagangan hidupan liar di pintu masuk antarabangsa negara," katanya.