Yunnan bukan sekadar destinasi untuk menikmati pemandangan gunung bersalji tetapi sebuah wilayah yang mempertemukan keindahan alam, kota lama, budaya dan kehidupan moden dalam satu perjalanan.
Wilayah terletak di barat daya China itu menawarkan pengalaman berbeza di setiap bandar bermula dari Kunming dikenali sebagai ‘Kota Musim Bunga’, Dali dengan bandar lamanya yang klasik hinggalah ke Lijiang yang kaya dengan sejarah dan budaya.
Bagi penulis, pengalaman menjelajah Yunnan secara Do It Yourself (DIY) tanpa pakej pelancongan memberi pengalaman tersendiri terutama apabila segala urusan perjalanan perlu dilakukan sendiri bersama rakan dengan bantuan daripada beberapa aplikasi tempatan.
Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke wilayah itu, perjalanan selama lima hari bersama dua rakan sejak zaman universiti, Nur Izzati Mohamad dan Norazlina Ismail berlangsung lancar meskipun berdepan masalah komunikasi berikutan majoriti penduduk tempatan tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Cuaca sejuk sebaik melangkah keluar dari lapangan terbang menjadi salam pertama Yunnan kepada kami bertiga.
Dari lapangan terbang, aplikasi e-panggilan Didi menjadi penyelamat untuk mendapatkan khidmat pengangkutan ke Stesen Kereta Api Kunming sebelum menaiki kereta api ke Dali.
Bagi perjalanan antara bandar, kereta api menjadi pilihan utama kerana lebih mudah dan menjimatkan, manakala pergerakan dari satu lokasi ke tempat tarikan lain menggunakan Didi dan selebihnya lebih selesa hanya berjalan kaki menikmati suasana.
Setibanya di Dali, kami sepakat menginap di sebuah hostel terletak di celah Dali Old Town.
Menariknya, bandar lama itu dipenuhi bangunan klasik, lorong batu dan seni bina tradisional yang membuatkan kami seakan- akan dibawa kembali ke zaman dinasti.
Selepas mendaftar masuk dan menjamu selera, tempat pertama yang kami kunjungi ialah ke Tasik Erhai.
Daripada hanya melihat pemandangan, kami memilih berbasikal di sekitar kawasan tasik sambil menikmati udara sejuk dan panorama cukup menenangkan.
Selepas Dali, perjalanan pada hari berikutnya diteruskan dengan kereta api ke lokasi bersejarah yang turut diiktiraf sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Lijiang.
Berjalan kaki menyusuri lorong kota lama di Old Town of Lijiang memberikan pengalaman berbeza dengan deretan kedai dan bangunan tradisional.
Penulis turut mengambil peluang mengenakan pakaian tradisional Yunnan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Antara kemuncak perjalanan di Lijiang ialah kunjungan ke Gunung Salji Jade Dragon dan Lembah Blue Moon.
Untuk ke gunung tinggi itu, kami mendapatkan bantuan pemandu pelancong dan dibekalkan kelengkapan tertentu berikutan keadaan altitud serta cuaca yang jauh lebih sejuk.
Perjalanan turut melibatkan penggunaan kereta kabel sebelum menikmati panorama indah kawasan pergunungan.
Keadaan di Jade Dragon Snow Mountain benar-benar menguji ketahanan kerana suhu sejuk dan altitud tinggi menyebabkan pernafasan terasa berbeza.
Bagaimanapun, segala rasa penat hilang apabila melihat sendiri pemandangan gunung dilitupi salji, sesuatu yang sukar diperoleh di negara beriklim tropika seperti Malaysia.
Pengalaman di Lijiang tidak berakhir di situ apabila kami berkesempatan menyaksikan persembahan Impression Lijiang yang menampilkan tarian dan persembahan masyarakat setempat.
Selepas beberapa hari menjelajah, perjalanan akhirnya membawa kami kembali semula ke Kunming.
Di ibu negeri Yunnan, kemodenan dan warisan lama seakan-akan bertemu, memperlihatkan sebuah bandar yang berkembang tanpa meninggalkan identiti sejarahnya.
Sebenarnya banyak lagi lokasi menarik yang boleh diterokai, namun kekangan masa menyebabkan kami hanya sempat mengunjungi beberapa tempat utama.
Bagi kami, Yunnan membuktikan melancong tanpa pakej bukanlah terlalu sukar, asalkan bersedia menghadapi cabaran, membuat sedikit kajian dan tidak panik apabila berdepan masalah.
Sesat seketika, mengambil masa mencari restoran halal atau bergelut dengan aplikasi mungkin kelihatan kecil tetapi pengalaman itulah akhirnya menjadikan perjalanan lebih bermakna dan sukar dilupakan.