MENJELANG tahun 2029, Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah yang bernilai RM2.1 bilion dijangka siap sepenuhnya.
Projek sepanjang 45.3 kilometer itu membabitkan pelebaran tiga kepada empat lorong dari Plaza Tol Gombak hingga Genting Sempah, manakala dari Genting Sempah hingga Persimpangan Mempaga, Bentong ditambah daripada dua kepada tiga lorong.
Terowong baharu sepanjang 999 meter akan dibina di Genting Sempah itu bakal membantu menampung pertambahan trafik di lebuh raya tersebut yang merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari sekarang, berbanding sekitar 41,000 kenderaan pada 1997
Untuk rekod terowong Arah Barat dibuka pada 1978 dan terowong Arah Timur dibuka pada 1996.
Ini sudah pasti menjadi berita baik kepada penduduk di Pantai Timur terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bakal menikmati kemudahan tersebut setelah sekian lama terpaksa berhadapan dengan kesesakan teruk setiap kali berlaku musim perayaan atau cuti umum.
Lebih 170,000 hingga hampir dua juta kenderaan direkodkan menggunakan Lebuhraya KLK pada musim perayaan, manakala purata hari biasa melibatkan kira-kira 100,000 kenderaan sehari.
Jadi ramai yang mengimpikan perjalanan yang selesa apabila pulang ke kampung halaman masing-masing, namun ia seperti satu harapan yang tidak kunjung tiba, namun projek tersebut bakal memberikan satu sinar kepada rakyat.
Selain pembangunan di KLK, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan memulakan operasi awal Januari tahun hadapan juga bakal menjadi katalis kepada pembangunan di Pantai Timur.
Malah projek Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang merupakan projek lebuh raya tanpa tol sepanjang kira-kira 300 hingga 350 kilometer bernilai RM8.7 bilion menghubungkan Kuala Krai di Kelantan hingga ke Lebuhraya Pantai Timur di Karak/Bentong, Pahang juga sedang rancak dilakukan.
Jadi dengan pembangunan yang sedang berlaku ini bukan sahaja untuk kesenangan dan keselesaan rakyat sahaja namun impian yang lebih besar ialah kemakmuran atau limpahan ekonomi yang bakal dirasai.
Kerajaan menjangkakan projek ECRL dan beberapa projek pembangunan yang lain akan dapat menyumbang RM80 hingga RM90 bilion nilai tambah terkumpul kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2047.
Ia dijangka dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pantai Timur yang banyak menghasilkan pelbagai produk seperti serunding, keropok, makanan halal, produk kosmetik, batik, produk herba dan makanan sejuk beku.
Namun bagi rakyat yang tinggal di Lembah Klang mungkin satu daripada impian ialah dapat menikmati produk keluaran PKS dari Pantai Timur pada harga yang lebih murah.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian