PUTRAJAYA – Keselamatan pengguna jalan raya berisiko perlu diperkukuh menerusi pendekatan kejuruteraan, penguatkuasaan undang- undang dan penggunaan teknologi masa kini termasuk menaik taraf lintasan pejalan kaki dengan sistem pintar yang dilengkapi sensor pergerakan.
Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengangkutan Lestari, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Kamarudin Ambak berkata, pendekatan itu perlu diberi perhatian bagi meningkatkan perlindungan terhadap pejalan kaki, penunggang basikal dan penunggang motosikal.
Menurutnya, dari sudut kejuruteraan, penambahbaikan boleh dilakukan menerusi reka bentuk persimpangan, kawalan kelajuan serta perlindungan fizikal kepada pejalan kaki di lokasi berisiko.
"Saya akan melihat pendekatan kejuruteraan dari segi penambahbaikan reka bentuk persimpangan, kawalan kelajuan dan perlindungan fizikal kepada pejalan kaki,” katanya.
Beliau berkata, sistem lintasan pejalan kaki juga perlu dinaik taraf bagi menyediakan fungsi keselamatan yang mampu meningkatkan kesedaran serta kewaspadaan pengguna kenderaan.
Jelasnya, antara teknologi yang boleh dipertimbangkan ialah Intelligent Traffic Signal Crossing Facilities yang dilengkapi motion sensor.
“Setiap kali pejalan kaki melalui kawasan berkenaan, ia akan mengesan pergerakan dan terus menghentikan lampu isyarat serta memberi keutamaan kepada pejalan kaki,” ujar beliau.
Kamarudin berkata, pendekatan itu boleh memberikan keutamaan kepada pejalan kaki apabila sistem mengesan pergerakan mereka di lintasan.
Selain teknologi pintar, Kamarudin menekankan penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan lebih berat dan besar juga perlu diperkukuh khususnya ketika melalui kawasan pejalan kaki.
Beliau mencadangkan pemasangan kamera pemantauan bagi melihat kelakuan pemandu kenderaan berat dan kenderaan komersial di kawasan berkenaan.
“Di sini penguatkuasaan perlu diperkuatkan supaya pemandu kenderaan yang lebih besar memberi keutamaan kepada keselamatan pejalan kaki,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan supaya pendekatan negara Thailand diteliti sebagai perbandingan bagi membentuk strategi dan tindakan yang lebih komprehensif.
Menurutnya, Thailand telah menguatkan kuasa terhadap pemandu yang tidak memberi laluan kepada pejalan kaki, termasuk mengenakan denda.