Pahang sedia pelbagai dana bantu usahawan, tarik perantau

Iklan
Mohamad Nizar ketika Program Town Hall Rakyat di Karangkraf pada Jumaat. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Kerajaan Pahang menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan dana bagi membantu rakyat mengembangkan perniagaan, termasuk golongan perantau yang berhasrat pulang ke negeri itu untuk menceburi bidang keusahawanan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, peluang berkenaan terbuka bukan sahaja kepada usahawan sedia ada, malah mereka yang ingin memulakan perniagaan atau membangunkan syarikat berasaskan teknologi dan inovasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta menerusi pembangunan usahawan yang boleh dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan, termasuk meningkatkan kapasiti, kemahiran dan keupayaan usahawan.

"Selain bantuan untuk membangunkan perniagaan, dana ini juga boleh digunakan bagi membantu usahawan menyertai pelbagai forum dan pameran perniagaan seperti pameran industri halal serta Selangor International Business Summit.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Program bermula jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung menerusi semua platform digital Sinar Harian.

Iklan

Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, golongan yang mahu meninggalkan pekerjaan korporat di Kuala Lumpur dan kembali ke Pahang turut mempunyai peluang untuk mendapatkan sokongan kerajaan.

Beliau berkata, terdapat peruntukan kira-kira RM500,000 yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu termasuk pertanian dan penternakan.

"Jikalau ada yang sudah bosan dengan pekerjaan korporat di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke Pahang untuk berniaga, ada dana yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kemahiran serta membangunkan perniagaan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata Pahang turut menyediakan platform bagi membantu syarikat pemula niaga berpotensi tinggi melalui program Pahang Innovative Startup Accelerator.

Menurutnya, program itu memberi ruang kepada syarikat membangunkan teknologi berinovasi tinggi yang berpotensi mengubah landskap industri serta berkembang pada skala lebih besar dalam tempoh singkat.

Beliau menambah, konsep inovasi yang mengubah kaedah atau model perniagaan sedia ada sudah dapat dilihat dalam pelbagai sektor, termasuk industri pengangkutan.

"Dahulu, apabila mahu mendapatkan teksi, kita perlu mencari dan menahan teksi di tepi jalan. Hari ini, dengan adanya aplikasi, kita boleh menempah kenderaan pada bila-bila masa.

"Perubahan seperti ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh mengubah cara kita menjalankan sesuatu urusan dan membuka peluang kepada model perniagaan baharu," katanya.

Mohamad Nizar berkata, pendekatan sama boleh diterapkan dalam sektor lain termasuk pertanian, penternakan dan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi serta inovasi.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada penyelesaian yang dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana mengurus rekod kewangan secara lebih teratur.

Menurutnya, rekod kewangan yang lengkap dan sistematik penting kerana institusi kewangan lazimnya memerlukan sejarah kewangan perniagaan sebelum mempertimbangkan permohonan pembiayaan.

"Ini antara cabaran yang sering dihadapi oleh perniagaan kecil kerana mereka mungkin mempunyai produk yang baik tetapi rekod kewangan tidak disusun dengan sempurna.

"Jadi, penggunaan teknologi yang membantu mereka merekod kewangan secara teratur boleh memudahkan proses mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan," katanya.

Beliau berkata, pendekatan memperkasakan usahawan bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, sebaliknya perlu disertai pembangunan kemahiran, penggunaan teknologi, akses kepada pasaran dan sokongan untuk mengembangkan perniagaan.

"Yang penting bukan sekadar berapa banyak kerajaan beri, tetapi bagaimana bantuan itu digunakan untuk membina perniagaan yang mampu berdiri sendiri, berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.