SHAH ALAM - Kerajaan Pahang dilihat berada pada landasan yang benar apabila berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM850 juta setakat Julai tahun ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, Pahang di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempamerkan kualiti mengagumkan sehinggakan berjaya memungut hasil RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.
Menurut beliau, kekuatan kewangan yang ada bebas untuk Pahang menentukan hala tuju sendiri tanpa perlu bergantung harap kepada bajet Persekutuan.
"Setakat Julai 2026, kerajaan negeri berjaya mengutip sebanyak RM850 juta, dalam landasan yang benar untuk mencapai RM1 bilion.
"Apabila kita ada hasil RM1 bilion, maka Kerajaan Negeri Pahang ada kekuatan kewangan dan boleh berdikari dari segi memberi bantuan kepada rakyat, membuat bajet untuk pembangunan dan sebagainya.
"Cuba bayangkan kalau kita ada pentadbiran yang tak tahu macam mana nak menjana hasil, mengurus kewangan dengan baik dan tidak menutup ketirisan, sudah tentu ekonomi Pahang akan terumbang-ambing," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada Program Town Hall Rakyat dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf pada Jumaat.
Program berlangsung pada jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.