NARATHIWAT - Dua rakyat Malaysia ditahan polis Thailand di Sungai Golok di sini Khamis malam, selepas pihak berkuasa menemukan 1,560 biji pil Epam (Nitrazepam) yang dipercayai dalam milikan mereka.
Ketua Polis Sungai Golok Kol. Thun Sirikhunt ketika dihubungi Bernama berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 30 tahun dari Kelantan itu ditahan kira-kira 10.30 malam di hadapan sebuah restoran di Jalan Anukachart Usorn, pekan Sungai Golok, hasil risikan dan maklumat orang awam.
Iklan
Iklan
Thun berkata, dadah berkenaan, yang dikategorikan sebagai bahan psikotropik Kategori 2, dibungkus dalam 39 pek lepuh yang setiap satunya mengandungi 40 tablet dan keseluruhannya dianggarkan bernilai 10,608 Baht (100 Baht = RM12.34).
Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat kerana memiliki bahan psikotropik Kategori 2 bagi tujuan penjualan tanpa kebenaran.
Menurutnya, kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih 20,000 Baht, atau kedua-duanya sekali. - Bernama