KOTA KINABALU - Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine, lapan tahun lalu.
Hakim Marlina Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Mohd Nazri Anipah, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan pindaan terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Marlina berkata, mahkamah telah mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pendakwaan serta pada akhir kes pembelaan.
"Mahkamah mendapati terdapat keraguan munasabah dalam kes pendakwaan berhubung identiti sampel yang tidak dipertikaikan, struktur eksibit, paras ambang dalam sampel dan terdapat rantaian jagaan yang terputus.
"Oleh itu, adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh atas pertuduhan pindaan yang sama. Dengan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pindaan tersebut," katanya.
Marlina turut menjelaskan keputusan itu kepada tertuduh dan memaklumkan bahawa dia dibenarkan pulang.
"Mahkamah telah melepaskan dan membebaskan kamu daripada pertuduhan ini dan kamu boleh balik sekarang," katanya.
Sebelum itu, menurut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, kira-kira 3.30 petang pada 31 Oktober 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C(1)(b) akta sama kerana mempunyai dua sabitan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a).
Pertuduhan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi, manakala Mohd Nazri menjadi satu-satunya saksi pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Alya, manakala Mohd Nazri diwakili barisan peguam, Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Prem Elmer dan Prabjit Singh Gill.