29 inovasi bakat muda kejuruteraan tangani cabaran dunia sebenar

Iklan
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) menyaksikan kreativiti dan inovasi bakat muda kejuruteraan Malaysia menerusi BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026 (BEMYEIT 2026). Foto: LJM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 inovasi dibangunkan pelajar dan graduan baharu institusi pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta di seluruh negara mengetengahkan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), bahan kitar semula dan tenaga boleh baharu bagi menangani cabaran dunia sebenar.

Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, inovasi berkenaan dipamerkan menerusi BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026 (BEMYEIT 2026) yang menjadi platform kepada bakat muda kejuruteraan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka melangkaui pembelajaran di bilik kuliah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara inovasi diketengahkan ialah penggunaan AI untuk mengesan ketidaknormalan rentak jantung, bahan kitar semula bagi pembinaan lestari serta sistem pengairan menggunakan tenaga solar.

“Selain aspek teknikal dan inovasi, kelestarian turut menjadi antara pertimbangan utama dalam penilaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjadi elemen penting dalam kriteria pengadilan.

Iklan

“Projek dinilai berdasarkan penerapan aspek kelestarian dalam penyelesaian yang dicadangkan, di samping kebolehgunaan serta potensi impaknya,” menurut kenyataan itu.

Tiga projek muncul sebagai pemenang utama dengan mengetengahkan penyelesaian dalam bidang teknologi kesihatan, pembinaan lestari dan tenaga boleh baharu.

Iklan

Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) memenangi kategori Ijazah Kejuruteraan – Washington Accord menerusi projek Real-Time ECG Monitoring & Arrhythmia Classification System Using Deep Learning.

Projek berkenaan menggunakan teknologi pembelajaran mendalam bagi pemantauan elektrokardiogram (ECG) secara masa nyata serta mengklasifikasikan ketidaknormalan rentak jantung.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula memenangi kategori Ijazah Teknologi Kejuruteraan – Sydney Accord menerusi projek ReNova: Advancing Circular Construction Through Geopolymer-Enhanced Recycled Materials.

Inovasi itu meneroka penggunaan bahan kitar semula dan teknologi geopolimer sebagai pendekatan ke arah pembinaan lebih lestari.

Bagi kategori Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan – Dublin Accord, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih anugerah utama menerusi projek Rainwater Harvesting Dual Source Irrigation System Powered by Solar.

Projek tersebut menggabungkan penuaian air hujan dan penggunaan tenaga solar dalam satu sistem pengairan.

Menurut LJM, projek pemenang menunjukkan bagaimana pendidikan kejuruteraan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang mempunyai nilai dan kepentingan melangkaui penilaian akademik.

Ia merangkumi penggunaan AI dalam pemantauan kesihatan, pendekatan kitaran dalam pembinaan serta penerapan tenaga boleh baharu dalam pengurusan air.

Dalam pada itu, BEMYEIT 2026 diperkenalkan menerusi AccreNova, platform baharu LJM yang menggabungkan aspek akreditasi, pendidikan kejuruteraan dan inovasi.

AccreNova dilancarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempena National Engineering Convention 2026 (NEC2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu.

NEC2026 berlangsung dari 17 hingga 20 Ogos dengan tema Engineering with Integrity in the Digital Age dan menghimpunkan kerajaan, akademia, industri serta komuniti kejuruteraan untuk bertukar pandangan mengenai teknologi, inovasi, pendidikan dan masa depan profesion kejuruteraan. (EMS BEM⁠)

LJM menjelaskan, menerusi BEMYEIT, pihaknya mahu menggalakkan generasi jurutera akan datang supaya tidak hanya melihat sama ada sesuatu penyelesaian boleh dilaksanakan dari sudut teknikal.

Sebaliknya, mereka turut digalakkan mempertimbangkan masalah yang mahu diselesaikan, golongan yang menerima manfaat serta impak jangka panjang daripada penyelesaian tersebut.

Pada masa sama, LJM menegaskan graduan kejuruteraan perlu mendaftar sebagai Jurutera Siswazah dengan badan berkenaan sebelum memulakan kerjaya dalam bidang kejuruteraan selaras dengan keperluan Akta Pendaftaran Jurutera 1967.