KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan (MOF) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa, kementerian itu menerima arahan daripada 'pihak atasan' supaya memproses permohonan yang disyorkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi projek di bawah Program Jana Wibawa.
Datin Rosni Mohd Yusoff yang ketika itu Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan di kementerian berkenaan berkata demikian semasa perbicaraan empat pertuduhan salah guna kedudukan untuk menerima suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta yang dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saksi pendakwaan ke-25 (SP25) berusia 54 tahun itu mengesahkan, telah menerima arahan untuk memproses permohonan daripada pegawai atasannya, Timbalan Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) di Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.
"Beliau juga menerima arahan daripada pihak atasannya yang mana bagi program Jana Wibawa, kami hanya memproses permohonan yang datang dari PMO.
“Bermula dari situ, Bahagian Perolehan akan membuat penilaian terhadap syarikat-syarikat yang terlibat sebelum dibawa ke Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Jana Wibawa.
“Ketika keputusan dibuat memang tiada campur tangan, tetapi arahan yang kami terima untuk menilai syarikat-syarikat tersebut datang daripada PMO melalui pejabat MOF,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat.
Pendakwa Raya: Pembelaan ada menyentuh isu komunikasi dalam minit. Boleh Datin jelaskan perbezaan antara komunikasi, minit dan arahan?
Rosni: Selaku penjawat awam, minit yang tertera atau diletakkan dalam dokumen itu merupakan tindakan yang diambil oleh pejabat MOF dan ia disusuli arahan kepada Zamzuri dan saya.
Pendakwa Raya: Apakah hierarkinya?
Rosni: Bermula daripada PMO kepada pejabat MOF, kemudian arahan diberikan kepada Setiausaha Bahagian Perolehan untuk melaksanakan tindakan seperti yang telah diminitkan.
Saksi itu turut berkata, arahan berkenaan merupakan punca kuasa untuk beliau melaksanakan sebarang tindakan.
Apabila ditanya pendakwa raya sama ada arahan tersebut tidak akan datang secara tiba-tiba, Rosni menjawab, “Ya, betul.”
Sebelum ini, Rosni berkata, sekiranya nama KCJ Engineering Sdn Bhd dan Nepturis Sdn Bhd tidak dinyatakan dalam surat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020 dan 3 Februari 2021, Jawatankuasa Penilaian Kontraktor tidak akan membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan.
Katanya, tanpa proses penilaian oleh jawatankuasa di MOF, kedua-dua syarikat itu tidak layak menyertai tender prakelayakan di Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana penilaian jawatankuasa merupakan syarat wajib bagi setiap pelantikan kontraktor di bawah Program Jana Wibawa.
Menurutnya, perkara sama turut melibatkan Sutracom Sdn Bhd yang perlu mengemukakan surat minat melalui PMO sebelum surat berkenaan dikemukakan kepada MOF untuk tujuan penilaian.
Beliau berkata, keseluruhan cadangan nama kontraktor dan projek di bawah Program Jana Wibawa datang daripada Pejabat Perdana Menteri.
Semasa pemeriksaan semula, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin menyoal sama ada saksi berkenaan menerima arahan terus dari Perdana Menteri ketika itu disandang oleh Muhyiddin.
Rosni: Tidak, takkan saya terima arahan terus dari PMO.
Peguam: Jadi, Datin tak boleh lampirkan dokumen yang menunjukkan bahawa Tan Sri Muhyiddin kata syarikat ini mesti diberikan secara rundungan terus, setuju?
Rosni: Memang ada arahan yang mengatakan setuju dibuat penilaian, surat itu ada, sebab Yang Arif, kalau saya tak dapat arahan, macam mana saya nak buat penilaian maka arahan mestilah secara bertulis.
Saksi berkenaan bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa, walaupun terdapat cadangan daripada PMO atau Perdana Menteri, beliau tidak akan membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan tanpa arahan daripada pegawai atasannya.
Peguam: Itu tidak bermakna terdapat arahan daripada Perdana Menteri supaya syarikat ini diberikan secara rundingan terus dan Rosni menjawab, arahan dari Pejabat Perdana Menteri.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff, 51 dan empat syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 26 Ogos.