PUTRAJAYA – Pas mengecam pendirian Ronnie Liu yang menyatakan Malaysia tidak akan dan tidak patut menjadi negara Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Mohd Nor Hamzah menyifatkan kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu sebagai biadab dan mencerminkan penolakan terhadap usaha mendaulatkan Islam di negara ini.
Menurutnya, Ronnie secara berterusan menyerang Islam di sebalik hujah berkaitan Perlembagaan dan kepelbagaian masyarakat.
“Serangan ini mendedahkan kebodohan dan kejahilannya terhadap kesempurnaan serta ciri-ciri keindahan ajaran Islam yang syumul (menyeluruh),” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Nor menjelaskan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merangkumi tata cara hidup bermasyarakat dan bernegara, bukan sekadar amalan ritual.
Beliau turut mempertikaikan hujah Ronnie yang menolak pentadbiran berteraskan syariat dengan melabelkannya sebagai mengeksploitasi agama.
"Ia terus menjadi pambawa naskhah dan penerus agenda penjajah untuk mensekularkan negara ini dengan cuba memisahkan agama daripada urusan pentadbiran dan politik," dakwanya.
Dalam penulisannya bertajuk Malaysia Will Not and Should Not Become an Islamic State — Upholding Islam, Defending the Constitution, Preserving Diversity, Ronnie menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia tidak akan dan tidak sepatutnya menjadi sebuah negara Islam atau negara yang diperintah oleh ekstremisme agama.
Bekas Exco Negeri Selangor itu menegaskan Malaysia tidak akan dan tidak seharusnya menjadi sebuah Negara Islam atau negara yang diperintah oleh ekstremisme agama, namun pendirian itu tidak bermakna menolak Islam.
Menurutnya, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, peranan Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal Islam serta institusi Islam yang sedia ada merupakan sebahagian daripada sistem perlembagaan negara yang perlu dihormati dan dilindungi.
Jelas Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia itu, perkara yang perlu ditolak bukan Islam, sebaliknya agama yang diperalatkan untuk kepentingan politik sehingga mencetuskan perlumbaan untuk membuktikan parti mana lebih Islamik.
Katanya, persaingan politik sepatutnya berasaskan tadbir urus baik, keadilan, ketelusan, usaha membanteras rasuah, meningkatkan pendapatan rakyat dan melaksanakan reformasi institusi, bukannya menggunakan retorik agama untuk mendapatkan sokongan politik
Dalam penulisan berkenaan, Ronnie turut menolak pendekatan yang menurutnya boleh membawa kepada ekstremisme agama, sambil menegaskan keperluan mempertahankan kerangka perlembagaan dan masyarakat majmuk Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd Nor mempersoalkan dakwaan Ronnie berhubung ancaman ekstremisme agama yang dikaitkan dengan usaha memperkukuhkan kedudukan Islam dalam negara.
“Ronnie cuba menakut-nakutkan rakyat dengan bayangan 'ekstremisme agama', namun persoalannya, adakah ini sebenarnya rupa bentuk ekstremisme agama yang sebenar yang terus-menerus menanam kebencian terhadap agama lain, khususnya terhadap kebangkitan Islam?” ujarnya.
Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payong turut memberi peringatan kepada orang Melayu-Islam yang menyokong pendirian berkenaan supaya tidak bersikap apologetik dalam mempertahankan agama.
Beliau menegaskan, umat Islam yang mempunyai kecintaan terhadap agama pasti berasa terhiris apabila gagasan Islam diperlekehkan.
“Hati mereka pasti terhiris dan terguris apabila gagasan mulia Islam diperlekehkan, manakala hanya mereka yang jahil agama dan mati hatinya sahaja yang tidak akan berasa apa-apa terhadap kenyataan biadab ini,” ujarnya.
Beliau turut menyeru umat Islam supaya bersatu hati mempertahankan kesucian akidah dan kedudukan Islam dalam negara.
“Pertahankanlah kesucian akidah dan kedaulatan agama kita daripada terus dipijak oleh musuh-musuh Islam,” ujarnya.