KANGAR - Isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan kedaulatan peraturan bukannya dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen agama atau perkauman.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu menghormati peraturan berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.
Menurutnya , pembinaan rumah persendirian juga tidak boleh dilakukan dengan menceroboh tanah milik pihak lain atau tanah awam, apatah lagi pembinaan rumah ibadat yang turut tertakluk kepada peraturan ditetapkan.
“Kita berada di negara yang ada undang-undang, bukan di hutan rimba yang tanah tiada pemilik.
“Sepatutnya, ahli Parlimen mengajar rakyat untuk mengikut undang-undang, bukan membina bangunan sesuka hati tanpa peraturan dan hak milik,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.
Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.
Beliau turut berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh UMNO, MCA dan MIC yang bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya Negeri Sembilan sebelum ini.
Rayer mendakwa Perlembagaan Persekutuan menjamin dan melindungi hak rakyat untuk menganuti agama selain Islam yang merupakan agama Persekutuan serta prinsip itu perlu dihormati semua kerajaan negeri termasuk pentadbiran PN di Perlis.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, keharmonian masyarakat di Malaysia perlu dipelihara dengan semua pihak menghormati hak penganut agama lain, termasuk kewujudan rumah ibadat yang dibina secara sah.
Beliau berkata, Islam juga mengajar umatnya supaya menghormati hak orang lain walaupun tidak bersetuju dengan pegangan atau kepercayaan mereka.
“Betapa banyak kuil yang sah wujud. Tidak disentuh pun oleh majoriti rakyat negara ini. Islam itu harmoni dan menghormati hak, walaupun tidak bersetuju.
“Namun, Islam juga tidak membenarkan manusia merampas atau mengambil tanah pihak lain tanpa alasan yang sah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan isu yang berlaku di Perlis tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, sebaliknya berkaitan pelaksanaan peraturan dan kedaulatan undang-undang.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu berkenaan untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama kerana tindakan sedemikian boleh memberi kesan buruk kepada keharmonian negara.
“Jangan bakar sentimen perkauman atau ketegangan agama. Buruk akibatnya nanti bagi negara ini,” katanya lagi.