Kedai ikan hiasan digempur, arapaima gergasi 50kg dirampas

Iklan
Seekor arapaima bersaiz gergasi seberat 50 kg antara yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya pada Khamis. Foto DOF

PETALING JAYA - Seekor ikan arapaima bersaiz mega seberat 50 kilogram (kg) dengan panjang 1.8 meter antara 258 ekor ikan larangan yang dirampas dalam serbuan di premis ikan hiasan di Bandar Sunway di sini pada Khamis.

Operasi itu dijalankan Jabatan Perikanan (DOF) Selangor bersama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Iklan
Iklan

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi bermula jam 2.30 petang itu hasil risikan dan pemantauan terhadap aktiviti berkaitan pemilikan ikan melalui media sosial.

Menurutnya, pemantauan terhadap hantaran di laman Facebook mendapati terdapat gambar dan video yang memaparkan ikan-ikan yang disyaki ikan larangan terjadual di bawah peruntukan undang-undang perikanan.

Iklan

"Hasil risikan dan pemantauan lanjut kemudiannya membawa kepada pengenalpastian premis yang mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut.

"Pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan pelbagai spesies ikan larangan antaranya lapan ekor Redtail Catfish Amazon, seekor Pictus Catfish, empat ekor Tiger Surubim Catfish, 13 ekor Shovelnose Catfish, 30 ekor Red-bellied Piranha, 119 ekor Peacock Bass, 13 ekor Gar, 41 ekor Silver Dollar, 28 ekor Parrot Fish serta seekor arapaima," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Antara ikan larangan yang dirampas DOF menerusi serbuan di sebuah premis ikan hiasan di Petaling Jaya pada Khamis. Foto DOF

Beliau berkata, keseluruhan ikan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM43,660.

Katanya, ikan paling besar yang dirampas ialah arapaima seberat 50kg dan proses mengeluarkan ikan berkenaan dari premis mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menggunakan peralatan jaring.

"DOF kini menjalankan siasatan sama ada spesies invasif itu ditempatkan di premis berkenaan untuk tujuan jualan atau sekadar dipelihara," katanya.

Noraisyah berkata, pemeriksaan turut mendapati individu yang terlibat gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia berkaitan ikan-ikan tersebut.

"Sehubungan itu, kesemua ikan berkenaan telah disita dan dibawa ke Pusat Transit Ikan Larangan untuk tindakan selanjutnya.

"Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan premis tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Keseluruhan ikan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM43,660. Foto DOF

Menurutnya, premis berkenaan dipercayai beroperasi berdasarkan tempahan sahaja dan tidak menerima pelanggan secara terus (walk-in), selain mempromosikan ikan larangan menerusi Facebook.

Beliau berkata, semakan rekod turut mendapati individu berkenaan pernah dikenakan tindakan kompaun sebelum ini atas kesalahan yang sama dan kes kali ini adalah kesalahan kedua berkaitan aktiviti ikan larangan.

Katanya, premis berkenaan turut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

"DOF Selangor akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan media sosial serta tindakan penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang perikanan dan membanteras aktiviti perdagangan ikan larangan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Peraturan 2(1), Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb, bagi Ikan) (Pindaan) 2024 berkaitan dengan pemeliharaan, penyimpanan dan penjualan ikan hidup daripada famili, genus atau spesies yang dinyatakan dalam Jadual tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.