KOTA KINABALU - Kata-kata terakhir arwah bapanya kira-kira lima bulan lalu yang menyebut dirinya bakal menjadi jutawan, yang pada awalnya dianggap sekadar gurauan rupanya menjadi kenyataan buat seorang suri rumah dari Sabah.
Octoviana Perdes Nelson, 53, tidak menyangka dirinya dipilih sebagai pemenang wang RM1 juta menerusi Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP), baru-baru ini.
Bagi wanita yang mesra disapa Ana itu, rezeki berkenaan hadir tepat pada waktunya selepas keluarganya melalui pelbagai dugaan termasuk rumah musnah akibat kebakaran, beban hutang untuk membina semula kediaman serta kehilangan motosikal.
"Saya jaga bapa selama 45 hari di hospital. Empat hari sebelum dia meninggal, satu pagi dia bercerita sambil melihat monitor tekanan darah dan berkata, 'Ana, duit ini berjuta. Duit kau ini, kau jutawan'.
"Saya jawab, 'tidaklah bapa', tetapi dia kata, 'iya Ana'. Saya sempat tanya kalau betul saya dapat duit itu, apa yang saya mahu buat.
"Jadi apabila diberitahu saya menang, terus saya teringat kata-kata bapa. Sebelum itu, bapa ada juga bercakap dengan abang dan adik saya mengenai saham naik, tetapi dengan saya saja dia cakap pasal jutawan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Octoviana yang berasal dari Kampung Balung Kokos dan kini menetap di Taman Semarak, Tawau berkata, kemenangan itu ibarat sinar baharu buat keluarganya selepas rumah mereka musnah terbakar ketika mereka berada di Kajang, Selangor, sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
"Memang saya tidak sangka. Alhamdulillah, rezeki ini boleh digunakan untuk menampung semula kos membaiki rumah kerana sehingga kini ia masih belum siap sepenuhnya.
"Adik-beradik banyak membantu dengan meminjamkan wang kerana kami tidak mahu membuat pinjaman lagi memandangkan suami bakal bersara tahun depan.
"Kami siapkan rumah itu sedikit demi sedikit dengan bantuan mereka. Kemudian tahun lepas, motosikal pula hilang dicuri," katanya.
Menurut ibu kepada lima anak itu, perkara pertama yang akan dilakukan selepas menerima wang kemenangan ialah melangsaikan hutang kepada adik-beradiknya yang membantu membina semula rumah.
Beliau turut merancang menyiapkan kediaman berkenaan yang kini sudah didiami keluarganya walaupun masih belum sempurna tanpa pintu dan cermin.
Berkongsi mengenai simpanannya, Octoviana berkata, beliau mula menyimpan dalam BSN SSP pada Februari 2025 selepas sering menemani ibu saudaranya berurusan di bank berkenaan sebelum tertarik dengan penerangan mengenai skim simpanan itu.
"Mula-mula saya simpan RM25,000 dan biarkan saja. Ada juga saya keluarkan sedikit sebab memerlukan wang ketika itu, tetapi selebihnya memang saya masih simpan.
"Masa mula-mula dapat panggilan daripada BSN, anak saya cakap jangan jawab sebab takut scammer. Tapi saya jawab juga dan dimaklumkan saya pemenang jutawan tersebut.
"Saya tidak percaya pada awalnya kerana langsung tidak terfikir akan menang. Hari Isnin lalu saya pergi ke BSN dan masa itu barulah saya percaya. Adik-beradik pun sudah telefon tanya betul atau tidak sebab berita itu sudah tersebar dalam kalangan keluarga," katanya.
Menurut Octoviana, selain untuk menyiapkan rumah dan melunaskan hutang kepada adik-beradiknya, dia berhasrat menunaikan umrah bersama suaminya, Guraide Yahya, 59.
Malah, rezeki itu turut membuka peluang kepadanya untuk kembali mencari pendapatan menerusi perniagaan makanan apabila merancang membuka kedai sate di Balung.
"Kami memang ada tanah di tepi jalan dan sudah lama merancang mahu berniaga. Adik-beradik masing-masing mahu buka kedai, ada yang mahu buka kedai runcit dan abang saya pula cakap saya ambil bahagian sate.
"Saya kata bolehlah sebab dulu kami pernah jual sate ketika tinggal di Kajang. Insya-ALLAH nanti bolehlah jual sate Kokos," katanya.
Bekas tukang jahit dari rumah itu turut berharap kisahnya menjadi dorongan kepada orang ramai untuk membudayakan amalan menyimpan, sambil mendoakan penyimpan BSN SSP lain turut berpeluang menikmati rezeki sepertinya.
Majlis penyampaian replika cabutan bertuah jutawan itu turut dihadiri Ketua Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil dan Pengarah Negeri BSN Sabah, Khairul Hazwani Nordin.