Tiga sekeluarga rentung, seorang melecur rumah terbakar

Iklan
Keadaan api yang marak memusnahkan sebuah rumah dan menyebabkan tiga mangsa rentung dalam kejadian di Kampung Darau Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Tiga sekeluarga termasuk seorang warga emas ditemukan rentung manakala seorang lagi melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Darau Manggatal di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, tiga individu yang rentung merupakan wanita berusia 67, lelaki 53 tahun dan wanita berusia 29 tahun, masing-masing ditemukan di bahagian bilik dan berhampiran pintu keluar.

Iklan
Iklan

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 34 tahun melecur di bahagian badan ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Keadaan rumah yang musnah akibat kebakaran di Kampung Darau Manggatal, Kota Kinabalu.

Iklan

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.43 pagi.

Katanya, seramai 13 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Lintas.

Iklan

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus.

"Operasi memadam kebakaran dijalankan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sebuah rumah dan menemukan tiga mangsa rentung dalam kejadian di Kampung Darau Manggatal, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati tiga mangsa ditemui dalam keadaan rentung, manakala seorang mangsa mengalami kecederaan akibat melecur.

"Menurut maklumat awal, kesemua mereka anak beranak termasuk melibatkan seorang cucu. Difahamkan, semasa kejadian, seorang lelaki dikatakan melecur ketika cuba menyelamatkan diri dan dalam masa sama, isterinya masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan nenek dan bapa saudaranya sebelum ketiga-tiga ditemukan rentung.

"Seorang mangsa rentung ditemukan di dalam bilik manakala dua lagi ditemukan berhampiran pintu keluar menuju ke tangga," katanya.

Noor Sherriyana berkata, kesemua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa melecur dihantar ke hospital.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 5.19 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi," katanya.