PUTRAJAYA - Inisiatif Desa Kirana berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi luar bandar dengan memperkasa sektor pelancongan desa serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Komuniti Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Zaflin Pakwanteh berkata, pendekatan itu bukan sekadar mempromosikan destinasi, sebaliknya memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh penduduk setempat.
Menurutnya, pelancongan desa sememangnya telah lama diperkenalkan, namun Desa Kirana mengetengahkan pendekatan yang lebih tersusun dengan memberi tumpuan kepada pengalaman menyeluruh kepada pelancong.
“Hasrat kita adalah untuk memastikan usahawan dan masyarakat luar bandar mendapat manfaat daripada pelancongan desa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Podcast KKDW: Cerita Desa Kita Episod 5 bertajuk Desa Kirana: Destinasi Pelancongan Desa yang dihoskan oleh Ketua Komunikasi Korporat KKDW, Nor Najihah Sukor.
Turut menjadi panel dalam podcast itu ialah Pengurus Bahagian Pelancongan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Mohd Ashek Mohd Hassan. Podcast KKDW:Cerita Desa Kita disiarkan menerusi platform media sosial rasmi Facebook dan YouTube KKDW serta SinarHarian.
Zaflin menjelaskan, Desa Kirana dibangunkan berasaskan lima elemen utama iaitu pengalaman kehidupan desa, produk tradisional, warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta gastronomi tempatan.
Katanya, pendekatan itu memperkukuh daya tarikan pelancongan desa sejajar dengan perubahan trend pelancongan yang lebih mengutamakan pengalaman autentik berbanding sekadar tempat penginapan.
“Anak-anak yang membesar di bandar kini semakin kurang terdedah kepada suasana kampung. Pengalaman seperti melihat haiwan ternakan atau menyertai aktiviti tradisional kini menjadi tarikan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan kepentingan memastikan komuniti tempatan menjadi pemain utama dalam rantaian ekonomi tersebut.
“Pastikan orang tempatan yang menjual produk, menyediakan perkhidmatan dan menerima manfaat. Jangan memberikan keutamaan kepada pihak luar,” katanya.
Kebersihan dan keselamatan diberi keutamaan
Mengulas lanjut, Zaflin berkata, peningkatan jumlah pelancong akan mewujudkan permintaan terhadap produk kampung sekali gus membuka peluang perniagaan kepada penduduk.
“Bila orang datang, mereka akan makan, menginap dan membeli produk tempatan. Dari situ ekonomi akan bergerak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Za in menegaskan aspek pengalaman pelancong perlu dijaga untuk memastikan sektor tersebut terus berkembang secara mampan.
“Jika pelancong mendapat pengalaman tidak baik, ia sukar diperbaiki, sebab itu kebersihan dan keselamatan perlu diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, promosi sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong oleh kualiti perkhidmatan yang baik di peringkat lapangan.
“Inisiatif ini hanya akan berjaya jika operator di lokasi mampu mengekalkan standard yang baik,” ujarnya.
Golongan muda ceburi sektor pelancongan desa
Sementara itu, Mohd Ashek berkata, pelaksanaan Desa Kirana bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, malah menggalakkan mereka kembali membangunkan ekonomi kampung melalui sektor pelancongan.
Menurutnya, trend sebelum ini menunjukkan ramai belia berhijrah ke bandar, namun kini wujud perubahan apabila mereka mula melihat potensi ekonomi di kampung.
“Ada anak muda yang menjadi pengusaha homestay, mengurus aktiviti pelancongan dan berkolaborasi dengan agensi untuk mengembangkan produk,” katanya.
Beliau berkata, golongan itu juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan idea baharu termasuk penggunaan media sosial bagi mempromosikan destinasi.
“Orang muda lebih kreatif dan berani mencuba. Mereka ini yang menggerakkan komuniti untuk meningkatkan ekonomi,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran dalam memastikan kelangsungan inisiatif tersebut termasuk aspek kebersihan, keselamatan dan kekurangan tenaga kerja di kawasan desa.
Katanya, penyelenggaraan fasiliti serta kesedaran pelancong terhadap penjagaan alam sekitar perlu diberi perhatian serius bagi mengekalkan daya tarikan destinasi.
“Kita perlu mendidik pelancong supaya menjaga kebersihan dan menghormati komuniti setempat,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan 25 lokasi Desa Kirana di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh pelancongan desa sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga 2027.
Inisiatif itu dijangka terus menjadi antara tarikan utama pelancongan negara, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar.