KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad memintanya membayar sebahagian daripada RM19 juta fi perundingan yang diperolehnya berhubung tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan politik bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri itu.
Pengarah Urusan Al Khairi Group Berhad, Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahya, 43, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Atirah Mohd Azuarizanuddin pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM350,000.
"Sejujurnya setiap apa yang diminta dan ditanya oleh Sayed (Sayed Amir Muzzakkir) saya tidak pernah bersetuju untuk memberi. Pertanyaan (Sayed) di lokasi pertemuan adalah bertujuan untuk 'sebahagian' kalau boleh diberikan untuk tujuan politik,” katanya.
Saksi pendakwaan ke-15 itu bersetuju dengan timbalan pendakwa raya bahawa 'sebahagian' yang dimaksudkan adalah sebahagian daripada RM19 juta fi perundingan berkenaan.
Semalam, Mohd Khairi menerusi pernyataan saksinya menyatakan pada pertengahan April 2020, Sayed Amir Muzzakkir menghubungi beliau pada awal pagi, dan memaklumkan lokasi pertemuan dengan Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Wan Azhar Mohamed Yusof di pejabat syarikat Nexuscorpgroup.
Menurut saksi berkenaan, dalam perbualan itu Sayed Amir Muzzakkir turut berpesan supaya memastikan terdapat perbincangan mengenai jumlah yang akan diterimanya sekiranya syarikat tersebut memperoleh projek Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet (RMPNet) untuk PDRM.
Selain itu, Mohd Khairi berkata, Sayed Amir Muzzakkir turut meminta ihsan daripada Mohd Khairi untuk membantu memberikan dana politik kerana tertuduh telah memperkenalkannya kepada syarikat Nexuscorpgroup dan Menteri Dalam Negeri yang ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ditanya Atirah mengapa saksi itu tidak memberikan sebahagian daripada RM19 juta kepada Sayed Amir Muzzakkir, Mohd Khairi menjawab"projek ini belum dapat gambaran, belum ada dokumen, belum dapat profil dan belum tahu latar belakang. Jadi tidak mungkin saya boleh terima dengan percakapan begini.
Mohd Khairi berkata, Wan Azhar meminta beliau menyediakan dummy invois berjumlah RM350,000, namun tidak mengetahui mengapa diminta berbuat demikian.
"Saya buat kerana saya tidak mahu nanti Wan Azhar tidak membayar baki bayaran kepada saya kerana saya tidak mahu memberi invois yang diminta oleh beliau. Jumlah dummy invois yang diminta oleh beliau ialah RM350,000," kata saksi itu.
Mohd Khairi dalam pernyataan saksi memberitahu beliau terkejut Wan Azhar memberikan RM350,000 kepada Sayed Amir Muzzakkir sedangkan saksi itu tidak berjanji untuk memberi apa-apa bahagian kepada tertuduh yang kononnya membantu menemukannya dengan Wan Azhar dan Hamzah bagi mendapatkan pertimbangan projek ini.
"Wan Azhar kemudian mengarahkan saya untuk menyediakan dan memberi invois dari syarikat saya supaya nampak legalized pembayaran RM350,000 tersebut. Invois ini adalah berkaitan pemberian olehnya kepada Sayed (Sayed Amir Muzzakkir) tanpa pengetahuan saya. Wan Azhar juga memberitahu saya, beliau terpaksa melakukannya kerana dia juga mendapat desakan terus-menerus daripada Sayed," katanya menerusi pernyataan saksi.
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Yaacob Md Sam yang mewakili tertuduh, Mohd Khairi bersetuju dengan peguam itu bahawa beliau tidak pernah menjanjikan sebarang bayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir berkaitan kejayaannya dilantik sebagai penasihat kepada Nexuscorpgroup.
Saksi itu tidak bersetuju dengan peguam bahawa RM350,000 yang dibayar Wan Azhar kepada Sayed Amir Muzzakkir adalah sebahagian daripada wang fi perundingan berkenaan.
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu Nexuscorpgroup memperoleh tender RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44 di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Disember 2020, dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.
Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok. - Bernama