BEIJING – Sebuah filem animasi China berjudul Niu Lai mencetuskan fenomena luar biasa apabila karya berbajet rendah yang pada awalnya kurang mendapat sambutan itu tiba-tiba ‘meletup’ di pawagam dan meraih kutipan luar biasa.
Filem berdurasi 86 minit yang mula ditayangkan pada 5 Ogos lalu tanpa kempen promosi besar-besaran, treler atau publisiti sebelum tayangan.
Dalam tempoh 10 hari pertama, ia hanya memperoleh kira-kira 7,700 yuan (RM4,700) dengan jumlah penonton kurang daripada 300 orang.
Namun, keadaan berubah sekelip mata selepas klip filem itu tular di media sosial. Warganet mempersendakan kualiti animasi, kesan bunyi dan gaya penceritaannya, malah ada yang mendakwa hasilnya lebih teruk berbanding animasi dijana kecerdasan buatan (AI).
Ironinya, ‘publisiti negatif’ itu bertukar menjadi promosi percuma yang menyebabkan orang ramai menyerbu pawagam, sekali gus melonjakkan kutipan box office Niu Lai yang kini mencecah 29 juta yuan (RM17.4 juta).
Niu Lai yang bermaksud The Cow Is Coming mengisahkan perjalanan seekor anak lembu dan seekor burung skylark dalam sebuah dunia mimpi yang penuh dengan unsur abstrak. Di sebalik visualnya yang dikritik warganet, filem itu mengangkat tema kekeluargaan, kasih sayang, keberanian dan pengorbanan.
Filem tersebut hasil garapan dua beranak iaitu pengarah, Xin Yumeng bersama ibunya, Sun Lifang yang mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan. Mereka mengendalikan hampir keseluruhan proses penerbitan termasuk penulisan, animasi, pengisian suara dan produksi. - Agensi