KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disiasat berhubung kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini, didakwa di Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ), termasuk gagal mematuhi lampu isyarat.
Bagaimanapun tertuduh, Mohd Akbar Zainol, 43, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Aliaa Anwar.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen
Tiga maut dilanggar lori imigresen: JIM serah siasatan kepada polis
Tiga sekeluarga maut asal Perak, dipercayai sedang bercuti di KL
Tiga beranak maut: JIM laksana siasatan dalaman aspek pematuhan prosedur pengoperasian kenderaan
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Polis tahan pemandu lori, pemandu kereta
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Identiti mangsa dikenal pasti - Polis
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Mangsa berada di kawasan selamat sebelum dirempuh - Polis
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi kelima-lima pertuduhan dan menetapkan 27 Oktober depan bagi sebutan semula kes.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan, lesen memandu dan pasport tertuduh digantung sehingga kes selesai
Mengikut pertuduhan, Mohd Akbar dituduh memandu sebuah lori jenis Isuzu Black Maria milik JIM secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan satu pertuduhan melanggar lampu isyarat.
Peguam Izzat Amir Saharudin memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah berkhidmat selama 11 tahun di JIM dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Dalam prosiding tersebut, mahkamah dimaklumkan bahawa Mohd Akbar mempunyai seorang anak yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang sudah berusia dan uzur di Kedah.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tiga sekeluarga maut dilanggar lori milik JIM yang terbabas dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, pada awal pagi Rabu.
Mangsa ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, yang sedang berjalan kaki maut di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika lori Isuzu Black Maria tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.