KUANTAN - Polis masih lagi mengesan tiga suspek yang melarikan barang kemas bernilai lebih RM1.7 juta dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan bagi kenal pasti perompak terbabit.
"Kes Genting Highlands itu masih lagi dalam siasatan pihak kami dan apa-apa maklumat terbaru yang kami dapatkan nanti kami akan maklum semula.
“Masa sekarang masih lagi dalam peringkat siasatan kami untuk mengesan suspek yang terdapat,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu kes berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program amal konvoi bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Merdeka ke-69 ke Kontijen Pahang di Dewan Badminton Kompleks Logistik PDRM Alor Akar di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.39 pagi Isnin lalu, tiga suspek bersenjatakan kapak dan kuku kambing menyamun sebuah kedai emas di Sky Avenue sebelum melarikan lima bekas mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram.
Ketiga-tiga suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.
Susulan kejadian itu, Op Tutup diaktifkan pada jam 12 tengah hari Isnin di sekitar Genting Highlands dan laluan menghala ke Batang Kali, Selangor sebelum ditamatkan pada jam 4.15 petang hari sama.
Mengulas mengenai khabar angin bahawa suspek sudah terlepas, beliau berkata perkara itu tidak boleh dianggap sebagai fakta selagi siasatan masih dijalankan.
“Itu rumours. Seperti yang saya sebut, masih dalam siasatan kami,” tgasnya.