PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jemaah Menteri pada Rabu meluluskan 17 syor penambahbaikan yang terkandung dalam Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
KDN dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu-pintu masuk antarabangsa negara.
Sebagai langkah segera, KDN berkata, terdapat enam tindakan bakal diberi keutamaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sedia ada.
"Pertama, saringan bersasar berasaskan risiko bagi mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.
"Kedua, e-Vetting dan kawalan akses bertujuan meneliti dan memperkukuh prosedur tapisan keselamatan terhadap kru, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.
"Ketiga, saringan dadah terhadap personel penerbangan untuk memperkukuh pelaksanaan saringan pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan," katanya pada Khamis.
Keempat, menurut KDN, meningkatkan kehadiran nyata pasukan keselamatan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan.
Jelas kementerian tersebut, langkah itu turut disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
"Kelima, penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan serta risikan melalui National Immigration Command Centre (NICC).
"Keenam, penubuhan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha MOT bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan," ujarnya.
KDN menambah, enam langkah segera yang disenaraikan adalah keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan sebahagian daripadanya dirangka bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di KLIA serta pintu-pintu masuk antarabangsa negara.
Katanya, pelaksanaan keseluruhan 17 syor juga merangkumi tindakan sederhana dan panjang.
"Fasa jangka sederhana memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia.
"Fasa jangka panjang pula melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi," kata kementerian itu lagi.
Pelan tindakan itu dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.
Antara lain penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat penyeludupan dadah serta kejadian keselamatan berprofil tinggi yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem kawalan di pintu masuk negara.
KLIA bakal menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan berkenaan sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu-pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.