KLANG - [DIKEMAS KINI] Selepas berdepan pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap anjing bernama Rocky, seorang wanita yang juga pemilik haiwan itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan memelihara anjing tanpa lesen sah.
Surirumah, S Roghini Devi, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A Karthiyayini.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memelihara anjing melebihi umur tiga bulan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Teluk Gedung Indah, Klang Selatan, di sini pada jam 10.50 malam 29 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing Mmajlis Perbandaran Klang 2007 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak maksimum satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN:Kertas siasatan kes kematian Rocky diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya
'Saya diugut, keluarga jadi sasaran selepas kematian anjing Rocky' -Muhammad Shah
Muhammad Shah kait kematian anjing 'Rocky' didakwa Khamis ini
Kes anjing Rocky: Polis terima arahan pertuduhan daripada TPR
Kes Anjing Rocky: Jangan pecah keamanan, hadir dengan tertib -KP Selangor
Wanita didakwa pemilik Rocky turut dihadapkan ke mahkamah hari ini
Kes Rocky: Tiada perhimpunan, suasana mahkamah terkawal
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Roghini Devi memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan jumlah yang dicadangkan pendakwaan bersamaan dengan denda maksimum yang ditetapkan di bawah undang-undang.
Karthiyayini membenarkan ibu kepada empat anak itu diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Turut hadir dalam prosiding ialah peguam pemerhati, Mohd Norazihan Adnan bagi pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang sementara peguam, Audrey Hoh Foong Yee untuk Badan Peguam Malaysia.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Roghini didakwa atas satu pertuduhan menarik Rocky sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan, tiga minggu lalu.
Media sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan berhubung kematian anjing berkenaan ketika operasi tangkapan haiwan berkeliaran.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, anjing itu disahkan mati di lokasi berkenaan pada jam 10.50 malam dan bangkainya dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JVS) bagi tujuan bedah siasat.