PEKAN - Seorang kerani kilang kerugian lebih RM101,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang dipercayai tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, wanita berusia 55 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali kira-kira jam 10 pagi, 15 Ogos lalu.
"Mangsa seterusnya diarahkan melakukan beberapa tugasan membuat ulasan dan menekan butang 'like' pada laman media sosial.
"Selepas bersetuju dengan tawaran itu, mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan mendapatkan komisen," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Zaidi berkata, mangsa terpedaya dengan tawaran itu sehingga membuat 14 transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM101,007 menggunakan wang simpanannya.
Beliau berkata, mangsa sekali lagi diarahkan membuat pindahan wang dan diugut berdepan dikenakan penalti sekiranya gagal berbuat demikian.
"Mangsa mula curiga dan syak telah ditipu sebelum hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Susulan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Katanya, semakan awal boleh dibuat menerusi portal rasmi Semak Mule bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod berkaitan penipuan sebelum sebarang transaksi dilakukan.
"Orang ramai yang syak menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.