Belum reda isu Kulai, Jalur Gemilang terbalik lagi di Iskandar Puteri

Iklan
Pandak (kiri) mendedahkan kejadian Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik di sebuah kilang di Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Belum reda isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis perindustrian di Kulai, kejadian sama dilaporkan berlaku di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian SILC, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai sangat biadab selain sewajarnya tidak berlaku dalam bulan kemerdekaan.

Iklan
Iklan

Beliau seterusnya menggesa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan polis mengambil tindakan tegas sekiranya hasil siasatan mendapati pemasangan bendera itu dilakukan dengan sengaja.

“Saya menerima aduan mengenai sebuah kilang di Kawasan SILC, Iskandar Puteri yang memasang bendera secara terbalik.

Iklan

“Sikap ini sangat kurang ajar dan tidak berprinsip. Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.

Sebelum itu pada Isnin, sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Iklan

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu diambil sehingga pihak syarikat berkenaan tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.

Dalam pada itu Pandak menegaskan, perkara membabitkan Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya melambangkan maruah, kedaulatan serta identiti negara dan negeri.

“Negara kita sudah merdeka hampir 69 tahun, tetapi masih ada pihak yang dilihat sengaja mengeruhkan keadaan dan tidak mempunyai semangat patriotik.

“Kalau benar ia dilakukan dengan sengaja, ini bukan lagi soal tersilap memasang bendera, tetapi soal menghormati negara dan negeri tempat kita mencari rezeki,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan kilang juga perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu dan memastikan bendera dipasang mengikut kedudukan yang betul.

Katanya, tindakan tegas wajar diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang serta menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih menghormati simbol negara dan negeri.