Setahun risikan, JKNK rampas ubat kurus disyaki beracun

Iklan
Dr Kasuadi (dua,kanan) menyusun produk kesihatan dimana sebahagian besarnya ubat kurus tidak berdaftar disyaki mengandungi racun berjadual yang dirampas oleh JKNK pada Rabu.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merampas 5,584 produk kesihatan, sebahagian besarnya ubat kurus tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun berjadual pada Rabu, selepas setahun menjalankan risikan.

Serbuan serentak di tujuh premis oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi itu mendapati ia melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

Iklan
Iklan

Pengarah JKNK, Dr Kasuadi Hussin berkata, operasi itu turut membongkar kegiatan penjualan produk kesihatan tidak sah yang dipercayai menggunakan rangkaian bekalan tertentu.

Menurut beliau, dua peranti digital termasuk telefon dan komputer turut dirampas bagi membantu pihak berkuasa menjejaki rantaian bekalan.

Iklan

"Risikan terhadap kegiatan penjualan produk berkenaan dilakukan kira-kira setahun sebelum tindakan serbuan dilaksanakan pada hari ini," katanya semasa sidang akhbar di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, pihaknya masih menyiasat sumber bekalan produk terbabit termasuk kemungkinan ia diperoleh dari luar negara, melalui ketirisan saluran bekalan atau dihasilkan sendiri.

Iklan

"Kita tidak boleh kata secara automatik produk itu dibuat atau diambil dari luar. Ada kemungkinan ia terhasil daripada ketirisan atau pemesongan daripada saluran sebenar.

"Sebab itu peranti digital yang dirampas akan dianalisis untuk kita mengesahkan rangkaian atau rantaian bekalan yang terlibat," katanya.

Menurut Dr Kasuadi, setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana siasatan masih berjalan, manakala pekerja yang berada di premis ketika serbuan hanya diambil maklumat.

Ujar beliau, tindakan itu bermula selepas pihaknya menerima aduan mengenai penjualan ubat tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun berjadual.

"Hasil persampelan daripada produk yang diadu itu, kita dapati ia mengandungi racun berjadual.

"Setakat ini tidak ada individu tampil melaporkan mengalami kesan akibat penggunaan produk berkenaan, tetapi kita syak ia boleh memberi kesan kepada sistem kardiovaskular, khususnya jantung," katanya.

Jelas beliau lagi, semua produk yang dirampas akan dihantar ke makmal bagi menentukan sama ada ia mengandungi racun berjadual.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

Kata beliau, ia turut disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama, dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.