KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pelajar bagi aktiviti"outing” susulan kes dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dilaporkan hilang baru-baru ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kes kehilangan dua pelajar tingkatan empat MRSM Alor Gajah, Melaka pada 11 Ogos lepas merupakan kes terpencil dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas untuk mewujudkan peraturan yang boleh menjejaskan aktiviti serta program di MRSM.
Iklan
Iklan
"Pelajar ini pun perlukan proses pematangan. Dari dulu lagi, ini bukan benda baharu, pelajar memang boleh keluar ke bandar…katakan dalam sebulan sekali atau pun dua kali mengikut syarat tertentu dan mereka keluar pun tidak akan ditemani guru,” katanya kepada media selepas Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada polis dan institusi berkenaan menjalankan siasatan lanjut, mengambil kira seorang daripada dua pelajar terbabit mengalami serangan panik dan memerlukan masa untuk bertenang.
"Belum lagi (dapat dikongsikan hasil siasatan) sebab Isnin lepas mereka diminta hadir untuk disoal siasat oleh pihak polis Alor Gajah bagi mendapatkan maklumat sebenar.
"Kita bagi ruang sikit sebab seorang daripada (pelajar perempuan terbabit) bila kita jumpa, dia macam 'panic attack' atau 'shock'...sebab itu kita hantar ke hospital," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dua pelajar MRSM Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi, 16, dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, dilaporkan hilang pada 11 Ogos lepas selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan sebelum ditemukan di sekitar Pasar Seni di sini empat hari kemudian. - Bernama