SEJARAH baharu bola sepak dunia menerusi rekod tanpa kalah terpanjang dalam liga bola sepak bakal tercipta sekiranya Johor Darul Ta’zim (JDT) menang atau seri menentang Kuching City FC dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat.
Untuk rekod, JDT kini menyamai pencapaian 108 perlawanan liga tanpa kalah, setaraf dengan kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas selepas menamatkan musim lalu menerusi kemenangan ke atas Kelantan 14-1.
Sekiranya tidak tewas nanti, skuad kendalian Xisco Munoz bakal melakar rekod baharu dunia dengan 109 perlawanan tanpa kalah berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia mengakui kejayaan mengekalkan prestasi konsisten sejak 2021 bukan tugas mudah memandangkan setiap lawan sentiasa mempunyai motivasi tinggi untuk menumbangkan Harimau Selatan.
"Saya pernah bermain dan menyaksikan banyak pasukan yang dominan sepanjang karier saya di Eropah, jadi saya tahu betapa sukarnya untuk kekal tanpa kalah tidak kira sekuat mana sesebuah pasukan itu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, ramai pasukan mahu menewaskan JDT dan menganggap setiap perlawanan adalah seperti aksi final.
Misi pemburuan rekod dunia itu hadir selepas JDT mengesahkan dominasi mutlak bola sepak tempatan dengan menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut tanpa sebarang kekalahan musim lalu.
JDT turut mengekalkan kehebatannya dalam aksi Piala Malaysia apabila menundukkan Kuching City 2-0 pada aksi final sekali gus menjulang trofi berprestij itu buat kali keempat berturut-turut.
Pertembungan semula dengan Kuching City kurang tiga bula daripada final Piala Malaysia itu bakal memberikan persepsi menarik buat pencinta bola sepak tempatan.
Justeru, keputusan menang atau seri Jumaat ini sudah cukup membanggakan buat Harimau Selatan mencetak nama menerusi pencapaian mengagumkan dalam diari bola sepak antarabangsa secara rasmi.