KAMPAR - Ahli keluarga kepada tiga beranak yang maut dalam nahas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi Rabu berharap siasatan dijalankan secara telus bagi memastikan keadilan buat mangsa.
Abang ipar kepada Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, Mohd Nadzri Razali, 69, berkata, keluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan mahu semua aspek disiasat secara menyeluruh.
“Saya harap siasatan dibuat sepenuhnya. Dengar cerita lampu isyarat merah tetapi kenderaan itu tetap melintas... kami nak keadilan untuk arwah dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, keluarga juga mahu segala maklumat berkaitan kejadian itu diperjelaskan oleh pihak berkuasa.
"Saya cuma minta keadilan untuk adik ipar dan anak-anaknya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Fasa 2, Mambang Di Awan di sini pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, Shaik Mohd Firdaus maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isterinya, Norhayati Razali, 55, cedera parah.
Semasa kejadian, empat sekeluarga terbabit yang sedang bercuti di Kuala Lumpur dilaporkan berada di pembahagi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail.
Sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai datang dari arah Wisma FGV hilang kawalan dan terbabas ke arah mangsa serta sebuah kenderaan lain yang berhenti di persimpangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen
Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen
Tiga maut dilanggar lori imigresen: JIM serah siasatan kepada polis
Tiga sekeluarga maut asal Perak, dipercayai sedang bercuti di KL
Tiga beranak maut: JIM laksana siasatan dalaman aspek pematuhan prosedur pengoperasian kenderaan
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Polis tahan pemandu lori, pemandu kereta
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Identiti mangsa dikenal pasti - Polis
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Mangsa berada di kawasan selamat sebelum dirempuh - Polis
Akibat rempuhan itu, tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan kini menerima rawatan di HKL.
Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata, mereka hanya mengetahui berita duka itu melalui panggilan telefon daripada ahli keluarga lain sekitar jam 7 pagi.
"Pada awalnya kami dimaklumkan dua beranak sahaja yang meninggal dunia, tetapi kemudian baru tahu sebenarnya tiga orang terkorban.
"Bila dengar tiga orang, memang terkejut dan sedih sebab baru beberapa bulan lalu kami kehilangan seorang lagi ahli keluarga," katanya.
Beliau berkata, keluarga juga berdepan kesukaran mendapatkan maklumat awal kerana beberapa barangan peribadi mangsa tidak ditemui.
“Beg duit, kunci kereta dan kad bank semua tak jumpa. Pihak polis pun kami tak pasti siapa yang hubungi pada awalnya,” katanya.
Mengulas keadaan Norhayati, beliau berkata, adiknya yang sebelum ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah sedar dan stabil.
Sekiranya keadaan mengizinkan dan mendapat kebenaran pihak hospital, pihaknya berharap Norhayati dapat dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh atau Hospital Teluk Intan bagi rawatan lanjut.
Mohd Nadzri yang tinggal di kejiranan sama dengan keluarga arwah menambah, kali terakhir beliau bertemu Shaik Mohd Firdaus adalah kira-kira dua minggu lalu ketika mereka pulang ke Teluk Bakong, Ayer Tawar untuk membersihkan kubur keluarga.
"Itu antara kenangan terakhir... dia tanya kedudukan kubur, nak bersihkan. Tak sangka itu pertemuan terakhir,” katanya.
Tambahnya, anak bongsu arwah yang berusia 12 tahun itu sangat rapat dengan bapanya.
"Kalau naik motosikal, dia peluk bapanya. Memang rapat sangat," katanya sayu.