Tawaran kerja media sosial perangkap warga asing jadi keldai dadah

Iklan
Shazeli (tengah) ketika sidang akhbar di IPK Selangor pada Rabu.

SHAH ALAM - Beberapa warga asing yang terperangkap umpan sindiket untuk dijadikan keldai dadah ditahan dalam siri operasi baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati sebahagian suspek warga asing itu menerima tawaran pekerjaan daripada individu tidak dikenali menerusi aplikasi media sosial sebelum diminta datang ke Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka kemudian diarahkan mengambil dan membawa bagasi ke negara tertentu tanpa mengetahui kandungan sebenar di dalamnya.

"Mereka mendapat tawaran daripada individu tidak dikenali untuk datang ke Malaysia sebelum diminta mengambil dan membawa bagasi ke negara lain.

Iklan

"Umpan awal adalah tawaran pekerjaan menerusi media sosial dan ada antara mereka yang mendakwa tidak mengetahui bagasi dibawa mengandungi dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Rabu.

Shazeli berkata, dalam enam siri operasi antara 4 hingga 17 Ogos lalu, polis menahan 12 suspek berusia antara 22 hingga 54 tahun, termasuk sembilan warga asing.

Iklan

Katanya, semakan awal mendapati sembilan warga asing terbabit dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial dan disyaki berperanan sebagai keldai dadah.

"Suspek yang ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu baru tiba dari luar negara ke Malaysia. Yang ditahan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula, suspek berada di dalam Malaysia dan hendak terbang ke luar negara melalui KLIA," katanya.

Menurutnya, dalam salah satu operasi, seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun ditahan selepas membawa kokain seberat 7.72 kilogram yang dikesan dalam sebuah bagasi ketika melalui mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan.

Shazeli berkata, sebahagian suspek mendakwa tidak mengetahui bagasi yang dibawa mengandungi dadah.

"Ada yang tidak tahu, itu sebabnya PDRM menasihatkan supaya berhati-hati dan jangan terjerumus dalam kegiatan keldai dadah," katanya.

Dalam enam siri operasi itu, polis bersama AKPS, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA serta dibantu Polis Bantuan MAHB KLIA merampas 96.15 kilogram bunga ganja, 408.63 kilogram syabu, 87.98 kilogram heroin base dan 7.72 kilogram kokain dengan nilai keseluruhan kira-kira RM37.5 juta.

Shazeli berkata, siasatan lanjut termasuk semakan silang dengan Jabatan Imigresen Malaysia sedang dijalankan bagi mengetahui status serta pergerakan suspek warga asing terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.