KUANTAN - Semua pihak diminta menghormati undang-undang dan tidak memainkan sentimen perkauman berhubung kejadian struktur patung sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi, Bentong yang didakwa dirosakkan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman tegaskan, sebagai rakyat, semua perlu ada rasa tanggungjawab dan patuhi undang-undang malah beliau sendiri tidak bersetuju dengan pencerobohan haram atau apa istilah sekalipun.
Bagaimanapun menurutnya, dalam isu itu difahamkan tanah yang dimaksudkan milik persendirian, bukan tanah milik kerajaan negeri mahupun persekutuan.
"Sudah-sudah memainkan sentimen sebegini, jika ianya pencerobohan haram maka ambil tindakan sewajarnya.
"Sekiranya ianya tindakan vandalisme, mereka yang terlibat juga akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya melalui kenyataan di Facebooknya.
Kenyataan itu dipercayai susulan maklum balas pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung terhadap ketegasan beliau menolak perbuatan vandalisme ke atas rumah ibadat di Bukit Tinggi itu dalam kenyataannya sebelum ini.
Firdaus melalui kenyataan di Facebooknya bersetuju dengan pendirian pemimpin DAP itu bahawa tindakan merosakkan berhala atau tempat sembahan orang lain tidak boleh diterima.
Pada masa sama, Firdaus mempersoalkan mengapa pihak yang didakwa menceroboh tanah dan membina kuil secara haram tidak turut dikenakan tindakan undang-undang sekiranya benar berlaku pelanggaran undang-undang.
Beliau turut menyatakan pelaku yang merosakkan berhala perlu diburu dan dikenakan tindakan sewajarnya, namun pihak yang didakwa menceroboh tanah serta membina kuil berkenaan juga perlu berdepan tindakan sekiranya kesalahan tersebut dapat dibuktikan.
Isu berkenaan mendapat perhatian selepas kejadian kerosakan berhala di lokasi terbabit tular di media sosial dan laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Young Syefura berterima kasih atas maklum balas pendakwah bebas tersebut bagaimanapun katanya, sebagai rakyat sepatutnya menyampaikan mesej yang baik bukan memainkan sentimen dan propaganda membenci sesama kaum.
"Jika dalam Islam juga ada menyebut hormat menghormati agama lain, kenapa sekarang kita melakukan sebaliknya?," soalnya.