JOHOR BAHRU - Isu pemasangan terbalik Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor di sebuah kilang di Kulai, Johor tidak boleh dianggap sebagai kesilapan yang tidak disengajakan malah tidak boleh ditoleransi.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, tiada ruang untuk cuai, lalai atau jahil berhubung simbol Malaysia seperti Jalur Gemilang, lagu Negaraku, jata negara dan Rukun Negara.
Menurutnya, beliau kesal dengan insiden yang masih berulang malah menganggap ada pihak tertentu yang masih menunjukkan sikap kurang menghormati simbol-simbol kebangsaan negara seperti sengaja melakukan tindakan yang menghina atau tidak menghormatinya.
"Sebarang tindakan yang tidak menghormati simbol-simbol kedaulatan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan jangan bertoleransi dengan isu-isu seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana ada pihak yang boleh mendakwa tidak tahu atau jahil dalam bab menghormati negara dan simbol kebangsaan.
Tegasnya, rakyat Malaysia sudah diajar mengenai Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Rukun Negara serta tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia sejak sekolah.
"Setiap minggu, pelajar sekolah berhimpun, menyanyikan lagu kebangsaan dan menyaksikan pengibaran Jalur Gemilang. Kita melaluinya sepanjang pendidikan rendah dan menengah. Apakah ada sesiapa yang benar-benar boleh mendakwa sudah melupakan nilai-nilai ini selepas tamat persekolahan," soalnya.
Justeru katanya, individu yang sengaja tidak menghormati simbol negara atau mengabaikan prinsip-prinsip yang menyatukan rakyat Malaysia perlu berdepan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Katanya, saban tahun, terutama pada bulan kemerdekaan, insiden membabitkan kibaran atau paparan Jalur Gemilang secara tidak betul atau tidak sopan pasti berlaku.
"Perkara ini mesti dihentikan. Kita tidak boleh membiarkan setiap insiden berlalu begitu sahaja dengan hanya memberi alasan bahawa ia adalah satu kesilapan. Apabila ia membabitkan maruah dan identiti negara, berhati-hati serta rasa bertanggungjawab yang lebih tinggi mesti diamalkan,” ulasnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk benar-benar menghargai titik peluh, darah dan pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang demi mencapai kemerdekaan negara ini.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura, pada Isnin.
Beberapa keping gambar memaparkan kedua-dua bendera yang dipasang terbalik itu tular di media sosial sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Susulan itu Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta merta operasi kilang berkenaan hari yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara.