KUALA TERENGGANU – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah dan unsur keganasan melampau yang menjejaskan imej Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).
Setiausaha Pertubuhan Peduli Ummah Terengganu, Syed Abdul Rahman Syed Hasan, 31, berkata, laporan dibuat jam 11.49 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Rabu.
Menurut, beliau menyedari hantaran berkenaan ketika berada di Bandar Kuala Terengganu pada jam 9.30 malam, Selasa.
"Selain itu, kenyataan tersebut turut mendakwa terdapat 'parasit Pas' yang membiak di Selangor serta menuduh Pasti sebagai sekolah haram dan tidak berdaftar sehingga melahirkan ramai anak pengganas," katanya.
Mengulas lanjut, Syed Abdul Rahman yang juga merupakan bekas alumni Pasti menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai amat serius, melampau dan boleh menimbulkan persepsi negatif serta ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Ujarnya, dakwaan mengaitkan institusi pendidikan kanak-kanak tersebut dengan unsur ekstremisme dan keganasan adalah sesuatu yang tidak berasas sama sekali.
"Sepanjang pengalaman saya menerima pendidikan di Pasti, perkara yang diajar hanyalah hafalan doa, hadis, asas agama, akhlak serta nilai-nilai kehidupan. Malah, ada juga ibu bapa berbangsa Cina yang menghantar anak-anak mereka ke sana.
"Kenyataan sedemikian amat mengelirukan dan menakutkan orang awam, khususnya ibu bapa. Sekiranya dibiarkan tanpa siasatan, ia boleh menimbulkan kebencian dan ketakutan yang tidak beralasan terhadap guru-guru, ibu bapa serta alumni Pasti," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menjalankan siasatan terperinci mengikut undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengenal pasti pemilik akaun berkenaan.
"Laporan ini dibuat bukan untuk menghalang kebebasan bersuara, tetapi kerana tuduhan mengaitkan institusi pendidikan kanak-kanak dengan kumpulan pengganas seperti ISIS adalah perkara yang sangat serius,"katanya.
Jelas beliau, pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh serta menyerahkan bukti tangkap layar bagi membantu siasatan pihak berkuasa.