WCE, IACT, Raintown bergabung platformkan bakat filem muda

Iklan
Raintown Film Festival yang berlangsung pada 4-6 September di Paragon Cinemas Taiping Mall.

 

TAIPING - Usaha memperkasa bakat kreatif muda terus diperkukuh apabila kolaborasi tiga pihak diperkenalkan bagi menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman industri perfileman sebenar melalui pendekatan penceritaan inovatif.

Iklan
Iklan

IACT College, West Coast Expressway (WCE) dan Raintown Film Festival berganding tenaga menerusi inisiatif 'Raintown Horizons: The IACT × WCE Student Cinematic Showcase' yang memberi ruang kepada pelajar menghasilkan filem pendek berasaskan tugasan industri sebenar dalam bentuk penceritaan kreatif.

Inisiatif itu dilaksanakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) dan berteraskan tema Raintown Film Festival edisi ketiga, After the Rain, yang menekankan elemen penceritaan kontemporari serta pembangunan bakat muda.

Iklan

Seramai 46 pelajar IACT College daripada lapan pasukan produksi terlibat dalam projek berkenaan yang dijalankan dalam tempoh tujuh minggu antara Jun hingga Julai 2026, merangkumi proses pembangunan idea, penggambaran dan suntingan filem pendek naratif asli.

Pendekatan program itu menyaksikan WCE diintegrasikan secara organik dalam penceritaan sebagai simbol perjalanan, hubungan komuniti dan landskap kehidupan moden.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif IACT College, Timothy Chan berkata, inisiatif itu membuka ruang pembelajaran lebih realistik kepada pelajar dengan pendedahan kepada tugasan sebenar industri kreatif.

Menurutnya, pendekatan tersebut memberi kebebasan kepada pelajar untuk membina identiti kreatif sendiri sambil memahami tuntutan dan jangkaan industri profesional.

"Apa yang membezakan kolaborasi ini ialah pelajar tidak diminta menghasilkan iklan, sebaliknya diberi kepercayaan untuk bercerita.

"Kepercayaan itu membuka ruang kepada mereka untuk menemui suara kreatif sendiri dalam konteks dunia sebenar industri,” katanya dalam kenyataan di sini oada Rabu.

Pensyarah Penyelia IACT College, Ain Syafiqah Rosdi berkata, pelajar menunjukkan perkembangan profesional yang ketara sepanjang proses produksi termasuk dalam aspek kreativiti, penulisan skrip dan penggambaran di lokasi.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberi pendedahan penting kepada pelajar dalam mengimbangi tuntutan klien dan kebebasan artistik.

"Sepanjang proses produksi, pelajar bukan sahaja belajar aspek teknikal, tetapi juga bagaimana mengurus cabaran sebenar di lokasi serta menyeimbangkan kehendak industri dengan visi kreatif mereka. Ia satu pengalaman pembelajaran yang sangat berharga,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix pula berkata, lebuh raya bukan sekadar infrastruktur pengangkutan, sebaliknya penghubung manusia, komuniti dan pengalaman kehidupan.

"Melalui kolaborasi itu, pelajar diberi ruang untuk mentafsir sendiri peranan WCE dalam bentuk penceritaan yang lebih autentik dan bermakna," katanya.

Filem-filem yang dihasilkan mengetengahkan pelbagai tema termasuk hubungan kekeluargaan, kehilangan, kesihatan mental, keletihan kreatif dan proses pemulihan diri, dengan jalan raya serta landskap sebagai metafora perjalanan kehidupan.

Kesemua lapan filem pendek berkenaan akan dipertontonkan sempena Raintown Film Festival edisi ketiga di Taiping pada September 2026, sebelum dipersembahkan kepada komuniti perfileman yang lebih luas.

Penjurian telah dijalankan oleh panel bersama WCE dan Raintown Film Festival sebelum majlis penutup serta penyampaian anugerah yang dijadualkan berlangsung pada 6 September 2026 di Paragon Cinemas, Taiping Mall.