Tiga beranak maut: JIM laksana siasatan dalaman aspek pematuhan prosedur pengoperasian kenderaan

Iklan
Zakaria

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan jabatan.

Ini susulan insiden kemalangan maut tiga beranak yang dipercayai dilanggar lori JIM di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini pada Rabu ketika dalam perjalanan mengambil Orang Kena Tahan (OKT).

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan dalaman ini bagi memastikan perkara itu diteliti secara menyeluruh.

"JIM memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman jabatan.

Iklan

"JIM memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen

Iklan

Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen

Tiga maut dilanggar lori imigresen: JIM serah siasatan kepada polis

Tiga sekeluarga maut asal Perak, dipercayai sedang bercuti di KL

Beliau berkata, jabatan menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa.

Tambahnya, JIM turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

"Pada masa yang sama, orang ramai dimohon menghormati privasi dan sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," ujarnya.

Kata beliau, JIM amat dukacita atas kejadian yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan.

"Seluruh warga JIM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan.

"Jabatan sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat kejadian ini," ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga pejalan kaki dilaporkan maut, iaitu seorang bapa berusia 53 tahun serta dua anak perempuan berusia 25 dan 12 tahun.