Tiga termasuk penjawat awam ditahan edar air, daun ketum

Iklan
Pemeriksaan dilakukan ke atas salah sebuah kenderaan ditahan dalam Op Taring Mitra menemui tong berisi bungkusan air ketum - Foto: FB BRIGED TENGGARA PGA

KUANTAN - Tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan bersama 627 liter air ketum dan 160 kilogram daun ketum dalam tiga operasi berasingan di sekitar daerah ini, Isnin lalu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil Op Taring Mitra bermula jam 4.30 petang hingga 11 malam itu, beberapa peralatan memproses ketum serta tiga buah kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM146,810 dirampas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati seorang suspek telah terlibat dalam penjualan air ketum sejak 2020 sebagai 'runner' dengan komisen RM1 bagi setiap botol serta bayaran gaji RM 4,000 sebulan.

"Suspek kedua pula dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari Kedah untuk kegunaan sendiri dan jualan semula.

Iklan

"Suspek ketiga merupakan penjawat awam dipercayai terlibat mengambil upah penghantaran daun ketum sejak Julai lalu dan telah melakukan 10 penghantaran dengan upah RM200 bagi setiap penghantaran," katanya melalui kenyataan di Facebook Briged Tenggara PGA.

Ahmad Radzi berkata,semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

Katanya, ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan memproses, menyimpan, menjual, mengedar air dan daun ketum selain memutuskan rangkaian bekalan serta pengedaran bahan berkenaan di sekitar Kuantan," katanya.