ADA waktunya kita terlalu sibuk bertanya anak-anak sedang buat apa di telefon, tetapi terlupa bertanya apa sebenarnya yang mereka sedut melalui vape.
Kemunculan ‘piu-piu’ seharusnya menjadi loceng amaran paling keras kepada ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Ia bukan sekadar trend baharu, tetapi wajah baharu ancaman dadah sintetik yang semakin licik menyusup ke dalam kehidupan anak muda.
Lebih menakutkan, ancaman itu datang dalam bentuk yang selama ini dianggap sebahagian daripada gaya hidup moden. Peranti vape kecil, mudah disembunyikan dan tidak semestinya menimbulkan syak wasangka.Angkanya pula bukan kecil.
AADK merekodkan 191,832 individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menjalani rawatan serta pemulihan pada 2025. Daripada jumlah itu, 112,632 adalah golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun, manakala 1,213 lagi berusia 13 hingga 18 tahun.
Lebih membimbangkan, AADK menyatakan dadah sintetik kini menyumbang sekitar 70 peratus daripada keseluruhan penagihan di Malaysia.
Ini bermakna kita bukan sedang berdepan masalah kecil yang boleh diselesaikan dengan sekadar ceramah antidadah setahun sekali. Kita sedang berdepan perubahan landskap dadah.
Dadah tidak lagi semestinya datang dalam bentuk pil, serbuk atau daun. Ia boleh datang dalam botol cecair vape yang kelihatan biasa, dipasar melalui media sosial dan akhirnya berada di tangan anak-anak kita.
Menurut AADK, dalam tempoh Januari hingga Mac 2026 sahaja, 1,346 daripada 5,030 individu yang menjalani rawatan dikesan mengalami masalah ketagihan serta gangguan mental secara serentak.
Lebih buruk, sifatnya yang sukar dikenal pasti menjadikan pencegahan jauh lebih mencabar kepada ibu bapa, guru dan pihak berkuasa.
Angka ini sepatutnya membuatkan kita berhenti seketika dan bertanya: apakah yang sedang berlaku kepada generasi muda kita?
Kita tidak boleh hanya menuding jari kepada anak muda apabila mereka terjebak. Pendidikan keluarga, pengawasan, kesedaran sekolah dan tindakan penguatkuasaan perlu bergerak serentak.
Kalau kita gagal bertindak sekarang, jangan terkejut jika suatu hari nanti kita terpaksa bertanya: bila sebenarnya kita terlambat menyelamatkan generasi muda kita?