PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif mungkin disambut baik oleh pihak yang mahukan supaya sistem itu dikembalikan semula.
Bagi ‘pencinta’ GST, kenyataan itu tentunya boleh dianggap sebagai berita baik kerana ia memberi gambaran bahawa kerajaan tidak menutup terus kemungkinan untuk mengambil semula sebahagian mekanisme GST yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Namun, kenyataan Anwar perlu dilihat secara lebih menyeluruh kerana apa yang disebut beliau bukanlah pengumuman bahawa GST akan dikembalikan, sebaliknya kerajaan mahu menilai kelebihan kedua-dua sistem dan menyesuaikannya dengan keadaan ekonomi semasa.
Berdasarkan kenyataan itu, kerajaan masih mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian negara kerana mengambil kira beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat ketika ini.
Dalam masa sama, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengambil ciri tertentu GST sekiranya ia mampu menjadikan sistem percukaian lebih cekap, adil dan progresif.
Persoalannya, apakah elemen GST yang mahu diambil dan bagaimana ia boleh dilaksanakan tanpa meningkatkan tekanan terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana?
Dalam keadaan rakyat masih berdepan kenaikan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan harian, sebarang langkah memperluas cukai penggunaan pastinya akan menjadi isu sensitif.
Justeru, jika kerajaan benar-benar mahu menggabungkan kekuatan SST dan GST, pendekatannya tidak boleh sekadar melihat kepada berapa banyak hasil tambahan yang mampu dikutip.
Kerajaan juga perlu melihat persoalan lebih besar iaitu siapa yang membayar, siapa yang menerima manfaat dan sejauh mana sistem itu mampu mengurangkan jurang ekonomi.
Justeru, perbincangan mengenai GST tidak seharusnya terperangkap dalam polemik ‘GST lawan SST’, sebaliknya, persoalan sebenar ialah bagaimana Malaysia boleh membina sistem percukaian yang mampan untuk jangka panjang, tidak membebankan rakyat biasa dan pada masa sama mampu menyediakan hasil mencukupi untuk membiayai pembangunan negara.
Jika kerajaan berjaya mengambil kelebihan GST tanpa mengulangi kelemahan yang pernah dipersoalkan rakyat, sambil mengekalkan perlindungan yang diperlukan melalui SST, pendekatan hibrid mungkin menjadi satu pilihan yang boleh dipertimbangkan.
Tetapi jika akhirnya perubahan hanya menyebabkan harga meningkat tanpa manfaat yang jelas kepada rakyat, ia berisiko menjadi isu politik dan ekonomi yang besar.
Maka, kenyataan Perdana Menteri kali ini lebih wajar dilihat sebagai pintu yang dibuka untuk perbincangan, bukannya lampu hijau untuk GST kembali.
Bagi ‘pencinta’ GST, ruang itu mungkin cukup untuk menyalakan kembali harapan.
Bagi rakyat pula, yang lebih penting bukanlah nama sistem cukai tersebut, tetapi sama ada sistem berkenaan benar-benar adil, telus dan tidak menambah beban kehidupan mereka.
Itulah ukuran sebenar reformasi percukaian negara.