Sultan Ibrahim kerabat diraja pertama terima sayap penerbangan TUDM pada 1982

Iklan
Sultan Ibrahim kerabat diraja pertama terima sayap penerbangan TUDM pada 1982. Foto Facebook Kesultanan Johor

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai kerabat diraja pertama menerima sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1982 selepas menamatkan latihan sebagai juruterbang helikopter.

Pencapaian itu diraih ketika Seri Paduka Baginda bergelar Tunku Mahkota Johor.

Iklan
Iklan

Menurut hantaran itu, pencapaian berkenaan jarang berlaku dalam sejarah latihan penerbangan tentera negara memandangkan tempoh latihan sebelum seseorang pelatih dibenarkan terbang bersendirian lazimnya mengambil masa lebih panjang.

Kepantasan dan ketepatan Baginda menguasai kemahiran penerbangan turut membolehkan Sultan Ibrahim menamatkan latihan sebagai juruterbang satu kumpulan lebih awal berbanding rakan sekursus.

Iklan

Perjalanan ketenteraan Baginda bermula selepas dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 susulan pertabalan paduka ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor.

Sebelum menyertai latihan penerbangan, Baginda menjalani latihan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Johor sebagai komander platun sebelum dihantar ke Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Pegawai Muda di Fort Benning, Georgia.

Iklan

Baginda turut menjalani latihan lanjutan di Sekolah Peperangan Khas di Fort Bragg, North Carolina, dan sekembalinya ke Johor, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) Johor.

Seri Paduka Baginda kemudian mendaftar sebagai pelajar juruterbang helikopter TUDM dan menjalani latihan di PULATIBANG 2, Kluang pada 1982.

Pada 26 April tahun sama, Sultan Ibrahim menerima sayap penerbangan dalam upacara perbarisan rasmi di PULATIBANG 2, Kluang, dengan Baginda turut bertindak sebagai ketua perbarisan.

Sayap penerbangan itu disampaikan sendiri oleh Sultan Iskandar.

Selepas itu, Sultan Ibrahim meneruskan latihan dalam cabang ketenteraan lain termasuk tentera laut selama tiga bulan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak dan latihan airborne serta ranger khusus untuk pegawai infantri.

Baginda kemudian mengikuti latihan American Special Forces dan Pathfinder yang melibatkan terjunan payung terjun sebanyak 19 kali, dengan sebahagiannya dilakukan pada waktu malam.

"Baginda merupakan seorang pegawai bertauliah dalam ketiga-tiga cabang utama angkatan tentera negara: darat, laut, dan udara,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu memaklumkan bahawa kepelbagaian latihan ketenteraan yang dilalui Sultan Ibrahim menjadikan Seri Paduka Baginda antara kerabat diraja Malaysia yang memiliki latar belakang ketenteraan paling lengkap.

Warisan penerbangan Baginda diteruskan sehingga kini menerusi"Penerbangan Diraja Sultan Johor”, unit penerbangan rasmi Istana Johor yang mengendalikan helikopter Sikorsky S-76 untuk keperluan rasmi dan peribadi Baginda serta kerabat Diraja Johor.- Bernama