Gesaan DAP hanya 'wayang', persediaan jadi pembangkang - Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful

SHAH ALAM - Gesaan DAP supaya peruntukan diberikan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen didakwa hanya 'wayang' kerana parti itu kini bimbang menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mempersoalkan tindakan pemimpin parti itu yang menyuarakan cadangan ketika tempoh penggal Parlimen hampir berakhir.

Iklan
Iklan

"Tuntutan ini adalah perkara yang baik. Tapi ia wayang saja, sebab kalau DAP serius kenapa tak tuntut dari awal?

"Dah dekat hujung penggal baru nak berlakon seolah-olah mereka peduli. Padahal sudah lebih tiga tahun mereka zalim dan menafikan hak peruntukan daripada kami wakil rakyat PN," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang khas bagi menjamin semua anggota parlimen (MP) termasuk daripada barisan pembangkang menerima peruntukan yang sama rata.

Menteri Digital itu berkata, reformasi berkenaan perlu dilaksanakan segera dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada budi bicara kerajaan.

Iklan

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu berkata, tuntutan supaya satu akta diwujudkan bagi menjamin peruntukan kepada semua ahli Parlimen bukan didorong keikhlasan menjaga kepentingan rakyat, sebaliknya kepentingan parti itu sendiri.

"Sebenarnya mereka hanya nak sediakan 'jaringan keselamatan' untuk diri sendiri sahaja.

"Dengan akta yang mereka tuntut ini, mereka rasa mereka boleh terus belanjakan wang negara selepas hilang kerajaan dan jadi pembangkang nanti," katanya lagi.

Beliau berkata, pendirian DAP itu mudah dibaca sebagai usaha melindungi kepentingan parti sendiri, bukannya memperjuangkan hak rakyat secara keseluruhan.