WASHINGTON - Tiada angin, tiada ribut, secara tiba-tiba Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berubah pendirian terhadap Pyongyang apabila mengarahkan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dikurangkan setelah menghebahkan 'hubungan baiknya' dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Trump menyifatkan latihan itu tidak wajar sedangkan ia bertujuan mempersiapkan Washington dan Seoul untuk menghadapi kemungkinan serangan Pyongyang.
"Latihan ini bukan sahaja menelan kos yang tinggi dengan sebahagian besar kosnya ditanggung oleh AS malah menghantar isyarat bermusuhan terhadap sebuah negara (Korea Utara)," menurut catatannya di platform Truth Social.
Memandangkan sudah terlambat untuk membatalkan latihan tersebut, Trump berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth supaya mengehadkan skala latihan itu dengan ketara.
Keputusan mengejut itu dibuat beberapa jam sebelum latihan tersebut bermula pada Isnin.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan latihan tahunan itu tetap diteruskan seperti yang telah dijadualkan sebelum ini meskipun Pyongyang mengeluarkan beberapa amaran pada minggu lalu termasuk melakukan ujian pelancaran peluru berpandu balistik merentasi Laut Jepun.
Korea Utara menegaskan mereka mungkin mengambil 'langkah baharu' sebagai respons terhadap provokasi Seoul dan sekutunya, AS.
Latihan selama 11 hari melibatkan kira-kira 18,000 askar itu memberi tumpuan kepada peperangan menggunakan dron, gangguan sistem GPS dan peranan serangan siber.
Ia berlangsung ketika hubungan Pyongyang dan Moscow semakin rapat dengan Korea Utara memberikan sokongan ketenteraan termasuk menghantar tentera darat kepada Rusia untuk menyertai perang menentang Ukraine.
AS menempatkan kira-kira 28,500 anggota tentera mereka di Korea Selatan bagi memperkukuh pertahanan negara itu daripada ancaman ketenteraan Pyongyang.
Kehadiran tentera AS di negara itu telah berterusan sejak Perang Korea 1950-1953 yang berakhir dengan gencatan senjata tanpa menandatangani perjanjian damai.
Sejak kebelakangan ini, Trump berulang kali mempersoalkan pakatan sedia ada termasuk peranan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan dengan lantang mengkritik sekutu-sekutunya kerana enggan menyokong tindakan ketenteraan AS terhadap Iran. - Agensi