Membina model kemakmuran bersama Malaysia - China

Iklan
Hubungan ekonomi Malaysia–China kini berada pada tahap yang semakin matang dan strategik. Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr. Zaharul Abdullah

HUBUNGAN ekonomi Malaysia–China kini berada pada tahap yang semakin matang dan strategik.

Perdagangan kekal sebagai tunjang utama hubungan dua hala di mana China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut.

Iklan
Iklan

Pada 2025, perdagangan dua hala mencatat rekod RM541.9 bilion, bersamaan dengan 17.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.

Dianggarkan 60 hingga 80 peratus perdagangan dua hala ini terdiri daripada barangan perantaraan yang menunjukkan tahap integrasi rantaian bekalan yang semakin mendalam di antara kedua negara.

Iklan

Pelaburan China turut berkembang pesat. Berdasarkan pelaburan asing yang diluluskan MIDA, China muncul sebagai antara dua sumber pelaburan asing terbesar Malaysia pada 2025 dengan RM58.0 bilion, hanya sedikit di belakang Singapura.

Dalam sektor pembuatan, China merupakan sumber terbesar pelaburan yang diluluskan pada 2024 dan 2025, masing-masing bernilai RM22.98 bilion dan RM43.73 bilion.

Iklan

Pelaburan China dalam sektor pembuatan ini semakin meluas merangkumi semikonduktor, pusat data, tenaga solar, kenderaan elektrik (EV), automotif, peralatan rel, bateri, keluli, petrokimia, tekstil dan kertas. Antara 2019 hingga 2023 sahaja, China dilaporkan melabur sekitar AS$21 bilion dalam pembuatan semikonduktor dan AS$10 bilion dalam pusat data di Malaysia.

Pelaburan ini melengkapi projek utama Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Kuantan Malaysia–China (MCKIP), pembesaran Pelabuhan Kuantan, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan Melaka Gateway.

Cabaran dalam Hubungan Ekonomi Malaysia-China

Persoalan utama sekarang ialah bagaimana Malaysia boleh menukar perkongsian ekonomi sedia ada ini kepada kemakmuran bersama yang berkekalan.

Cabaran pertama ialah Malaysia tidak mempunyai satu kerangka nasional yang cukup jelas bagi menghubungkan pelaburan China di dalam pelbagai sektor ini dengan usaha mentransformasi industri Malaysia.

Walaupun pelaburan pembuatan menghasilkan pekerjaan dan eksport, sebahagian aktiviti masih tertumpu kepada pengeluaran bernilai sederhana dan bukannya penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan teknologi termaju.

Pemindahan teknologi juga masih terbatas. Dalam banyak projek, ia lebih berbentuk latihan pengendalian mesin dan peralatan berbanding pembangunan teknologi bersama, R&D atau inovasi tempatan.

Pada masa yang sama, hubungan dengan industri domestik masih lemah. Banyak firma China terus bergantung kepada mesin, komponen dan input dari China kerana sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia belum mampu memenuhi keperluan kos, skala dan piawaian teknikal mereka.

Cabaran seterusnya ialah memastikan projek infrastruktur tidak berkembang secara terasing. Pelabuhan memerlukan aktiviti industri untuk menjana kargo, manakala taman perindustrian memerlukan akses jalan raya, rel dan pelabuhan yang cekap.

Daya maju ECRL juga bergantung kepada pembangunan industri, hab logistik dan pusat bandar di sepanjang laluannya, bukan semata-mata kepada pengalihan kargo dari Singapura.

Integrasi ini penting untuk membawa lebih banyak pelaburan dan pekerjaan ke Pantai Timur serta mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan wilayah.

Aspek kelestarian juga perlu diberikan perhatian. Pelaburan China merangkumi sektor hijau seperti solar dan EV, tetapi turut melibatkan industri intensif karbon seperti keluli, petrokimia dan pusat data.

Projek seperti Forest City dan Melaka Gateway pula menimbulkan kebimbangan mengenai ekosistem marin, impak sosioekonomi ke atas komuniti nelayan dan kekurangan penyertaan masyarakat dalam proses penilaian impak.

Malaysia juga kekurangan koordinasi institusi yang kukuh. Hubungan antara agensi Persekutuan, kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan institusi kewangan masih belum cukup tersusun. Objektif komersial GLC juga tidak semestinya selari dengan matlamat pembangunan nasional.

Langkah Membina Kemakmuran Bersama

Justeru, Malaysia perlu membangunkan Strategi Perindustrian Malaysia–China yang khusus dan diselaraskan dengan NIMP 2030, Strategi Semikonduktor Nasional serta agenda peralihan tenaga. Kejayaan pelaburan perlu dinilai bukan hanya berdasarkan jumlah modal, tetapi juga penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, R&D, pemindahan teknologi, pembangunan pembekal tempatan dan nilai tambah domestik.

Pelaburan China harus lebih terarah kepada semikonduktor, AI, robotik, EV, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi dan bahan termaju. Pemindahan teknologi pula perlu diinstitusikan melalui R&D bersama, perkongsian teknologi, pembangunan paten, penyertaan jurutera tempatan dan program peningkatan keupayaan pembekal.

Pada masa sama, PKS Malaysia memerlukan pembiayaan, pensijilan, automasi dan bantuan teknikal agar mampu memasuki rantaian bekalan firma China. Sementara itu, universiti, institusi TVET dan industri juga perlu bekerjasama membangunkan jurutera, juruteknik dan penyelidik tempatan.

ECRL, MCKIP dan Pelabuhan Kuantan pula wajar disepadukan melalui model “Port–Park–Rail–City” yang menghubungkan pelabuhan, kawasan perindustrian, rel, logistik dan pembangunan bandar.

Kerjasama masa depan juga mesti lebih hijau dan inklusif melalui piawaian alam sekitar yang kukuh, konsultasi awam dan perlindungan komuniti terjejas.

Akhirnya, Malaysia perlu mempertimbangkan penubuhan Majlis Kerjasama Perindustrian dan Ekonomi Malaysia–China di peringkat tertinggi yang bersifat kekal dengan pihak China untuk menyelaras dasar Persekutuan dan negeri, memantau pemindahan teknologi dan pengisian tempatan serta menilai kesan sosial dan alam sekitar.

Justeru, cabaran terbesar Malaysia bukan lagi bagaimana menarik lebih banyak pelaburan China, tetapi bagaimana memastikan hubungan tersebut memperkukuh keupayaan industri dan teknologi negara.

Inilah asas kepada sebuah Model Kemakmuran Bersama Malaysia–China, iaitu kerjasama yang bukan sahaja meningkatkan perdagangan dan pelaburan, tetapi turut membina kapasiti domestik, memperluas peluang ekonomi dan menghasilkan manfaat pembangunan yang lebih seimbang serta berkekalan.

* Dr. Zaharul Abdullah merupakan Pensyarah Kanan Institut Asia-Eropah Universiti Malaya