Tiga tahun jadi mangsa buli di sekolah, remaja 15 tahun berisiko hilang pendengaran

Iklan
Nurhaswaty (kanan) menunjukkan kesan kecederaan dialami anaknya.

SHAH ALAM - “Luluh hati saya sebagai seorang ibu, satu-satunya anak saya kini berisiko hilang pendengaran gara-gara menjadi mangsa buli serta dipukul di sekolah.”

Itu luahan seorang ibu, Nurhaswaty Zamani, 43, yang mendakwa anaknya, Adryz Adrian, 15, mengalami kecederaan pada kepala dan telinga selepas dipercayai menjadi mangsa buli dan serangan di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.

Iklan
Iklan

Menurut Nurhaswaty, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas anaknya pulang dari sekolah pada Rabu lalu dan menceritakan kepadanya mengenai kejadian yang berlaku.

"Cuma esoknya (Rabu) masa dia balik sekolah, mungkin sebab tak tahan sakit yang ditanggung, dia beritahu perkara sebenar," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Adryz (tengah) didakwa mengalami kecederaan pada kepala, telinga, leher dan badan selepas diserang ketika dalam perjalanan ke kelas kira-kira jam 8.30 pagi.

Nurhaswaty berkata, selepas mengetahui kejadian itu, suaminya terus ke sekolah untuk bertemu pengetua dan guru disiplin sebelum anaknya dibawa mendapatkan rawatan di hospital.

Iklan

Katanya, anaknya menjalani beberapa pemeriksaan termasuk imbasan dan ujian saringan pendengaran selepas mengalami sakit serta bengkak pada bahagian kepala dan telinga kanan.

"Doktor beritahu ada risiko kehilangan pendengaran, ketika ujian saringan pertama dibuat, pendengarannya terganggu kerana telinga berdesing dan berdenyut.

"Ujian kali kedua juga masih sama kerana kecederaan itu melibatkan pendengaran,” katanya.

Menurutnya, keadaan pendengaran anaknya kini sedikit bertambah baik selepas menerima rawatan, namun masih memerlukan pemantauan doktor secara berkala.

"Doktor minta buat pemeriksaan susulan, saya minta supaya pemeriksaan dilakukan setiap minggu untuk memantau keadaan anak sehingga dia betul-betul pulih,” katanya.

Nurhaswaty berkata, anaknya kini diberikan cuti sakit selama dua minggu selain kebenaran pihak sekolah untuk berehat di rumah bagi memberi ruang kepadanya memulihkan keadaan fizikal dan emosi.

Katanya, anaknya turut mendapatkan rawatan pakar psikiatri selepas kejadian itu dan hasil pemeriksaan mendapati keadaan mentalnya terganggu.

"Anak saya seorang pelajar yang ceria dan aktif dalam bersukan, namun paling dikesali kejadian ini mengakibatkan mentalnya terganggu, dia berubah menjadi pendiam dan lebih banyak menyendirikan diri.

"Dia kini dalam rawatan dan kami akan buat susulan sehingga mentalnya betul-betul stabil sebelum dia kembali ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Nurhaswaty mendakwa anaknya sudah berdepan gangguan daripada kumpulan pelajar sama sejak Tingkatan Satu.

"Anak saya daripada Tingkatan Satu lagi sudah kena dengan kumpulan itu, ada kejadian sebelum ini tetapi ia senyap.

"Selepas kes ini berlaku dan pihak sekolah menerima tekanan daripada pihak atasan, barulah kejadian sebelum ini turut diceritakan kepada saya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Adryz didakwa mengalami kecederaan pada kepala, telinga, leher dan badan selepas diserang ketika dalam perjalanan ke kelas kira-kira jam 8.30 pagi.

Mangsa didakwa ditumbuk dari belakang pada telinga kanan sebelum jatuh, manakala kejadian terdahulu turut didakwa membabitkan mangsa dicekik, dibanting ke lantai simen dan ditendang di kepala.

Nurhaswaty berkata, dia kecewa apabila anak yang dihantar ke sekolah dalam keadaan sihat kini terpaksa menerima rawatan dan berdepan risiko kehilangan pendengaran.

"Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa, saya hantar anak saya sihat, tetapi balik dapat sakit macam ini.

"Saya harap selepas ini tiada lagi kejadian seperti ini berlaku di sekolah itu atau sekolah-sekolah lain, bila perkara seperti ini berlaku, pihak sekolah perlu buka mata dan turun padang untuk selesaikan kes dengan cepat,” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan lebih tegas terhadap kes buli di sekolah kerana kejadian sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah menyebabkan keluarga dan pelajar lain berasa trauma.

"Kes buli ini bukan kali pertama berlaku, sekarang banyak kejadian buli berlaku di sekolah rendah dan menengah.

"Bagi saya, Kementerian Pendidikan perlu ambil tindakan tegas dan beri perhatian serius kerana ia melibatkan kanak-kanak bawah umur,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang keluarga, Datuk Azar Irwan Arifin berkata, pihak keluarga mangsa akan mengambil tindakan sivil terhadap suspek dan ibu bapa atau penjaga suspek berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

Menurutnya, tuntutan berkenaan termasuk ganti rugi berkaitan kecederaan, kos rawatan perubatan serta ganti rugi tauladan yang akan diputuskan mahkamah.

"Kalau kita ambil tindakan sivil terhadap suspek dan ibu bapa atau penjaga suspek, kita akan minta ganti rugi daripada segi kecederaan yang dialami, mungkin daripada segi kos perubatan yang perlu ditanggung oleh mangsa.

"Mungkin juga ganti rugi tauladan yang mana mahkamah kena putuskan kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak,” katanya.

Azar Irwan berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat untuk pelajar menimba ilmu, belajar, membesar dan bergaul bersama rakan, bukannya lokasi yang menyebabkan mereka berasa takut.

"Bila berlaku kejadian macam ini, ia menyebabkan anak-anak yang ingin belajar pun takut.

"Jadi, mahkamah perlu putuskan satu ganti rugi tauladan untuk memastikan ia menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengulangi atau melakukan perbuatan sama," katanya.