KUALA LUMPUR - Ekonomi digital Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sasaran yang ditetapkan kerajaan sebelum ini adalah untuk memastikan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK mencapai 25.5 peratus pada 2025.
Menurutnya, walaupun angka rasmi bagi pencapaian 2025 masih dalam proses dimuktamadkan, beliau dimaklumkan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Kalau kita lihat kepada dasar-dasar yang telah dilancarkan seperti Pelan AI dan Malaysia Digital (MD) 2030, semuanya mempunyai sasaran yang jelas untuk dicapai.
“Kita juga mempunyai proses pemantauan bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran aplikasi Boost SME di KL Sentral, di sini, Selasa.
Gobind berkata, Kementerian Digital menerusi Malaysia Digital Corporation (MyDigital Corp) turut diberi tanggungjawab untuk memastikan pelbagai inisiatif digital yang dilancarkan kerajaan mencapai sasaran ditetapkan.
Katanya, sasaran lebih besar adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, selaras dengan aspirasi kerajaan.
“Yang lebih penting adalah memastikan kita dapat mencapai visi Perdana Menteri iaitu AI Nation 2030, di mana pada masa itu sumbangan ekonomi digital kepada KDNK sepatutnya mencapai 30 peratus.
“Semua ini sedang dalam proses dan saya berharap kita dapat melihat kesan daripada apa yang telah dilancarkan dan sedang dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind berkata kerajaan sedang meneliti bentuk insentif yang bersesuaian bagi membantu perniagaan kecil meningkatkan penggunaan teknologi termasuk AI.
Katanya, perbincangan mengenai perkara itu sedang dijalankan dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan.
“Kita mahu memastikan kos yang terlibat dalam penggunaan AI tidak terlalu tinggi supaya teknologi ini dapat digunakan secara meluas.
“Perniagaan perlu memahami teknologi tersebut dan mempunyai akses kepadanya. Jika kita mempunyai teknologi yang canggih tetapi aksesnya terhad kerana kos terlalu tinggi, ia tetap menjadi masalah,” katanya.
Sementara itu, Gobind berkata platform digital yang dilancarkan untuk PKS mampu membantu mengumpulkan pelbagai kemudahan, insentif dan bantuan yang sebelum ini disediakan secara berasingan.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan PKS dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan sebahagian besar daripada ekonomi negara selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Banyak bantuan dan kemudahan dibuka kepada PKS, tetapi perkhidmatan itu berselerak. Jadi timbul persoalan sama ada insentif tersebut sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Kita mahu membawa semuanya bersama dalam satu platform supaya PKS dan PMKS lebih mudah mendapatkan kemudahan yang diperlukan, termasuk bantuan kewangan serta insentif yang disediakan kerajaan dan industri,” katanya.