DENDERMONDE, BELGIUM – Lapan pekerja binaan terkejut selepas menemukan syiling serta jongkong emas yang dianggarkan bernilai sembilan juta euro (kira-kira RM42.3 juta) ketika menjalankan kerja pengubahsuaian sebuah bangunan di bandar ini, Selasa minggu lalu.
Penemuan itu berlaku ketika mereka menjalankan kerja di sebuah bangunan yang dipercayai pernah menjadi kilang bir lama, kira-kira 31 kilometer (km) barat laut Brussels.
Menurut CNN, seorang pelajar yang bekerja secara sambilan dalam sektor pembinaan, Kobe Phillips, merupakan individu yang menemukan emas berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pemilik hartanah.
Pemilik berkenaan kemudiannya menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan tersebut.
Phillips berkata, dia pada awalnya menyangka benda yang ditemuinya itu hanyalah syiling satu euro yang disusun dalam satu barisan.
Bagaimanapun, sangkaannya berubah selepas dia menyedari terdapat satu jongkong emas kecil yang melekat pada tukul yang digunakan ketika kerja dijalankan.
Ketua Daerah Polis Dendermonde, Patrick Feys berkata, penemuan itu membabitkan kira-kira 40 jongkong emas bersama 4,000 syiling emas.
Beliau berkata, kesemua harta berharga berkenaan ditemukan tersembunyi pada bahagian struktur asas sebuah kilang bir lama.