SINGAPURA - Dua syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura, GIC dan Temasek menafikan dakwaan bahawa mereka cuba mempengaruhi penyedia indeks global MSCI supaya menurunkan klasifikasi pasaran saham Indonesia.
Menurut laporan The Straits Times pada Rabu, penafian itu dibuat selepas bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi pada Selasa menuduh kedua-dua syarikat berkenaan menekan MSCI untuk menurunkan status Indonesia daripada pasaran sedang pesat membangun (Emerging Market) kepada pasaran kendiri (Standalone Market).
Lutfi mendakwa tindakan tersebut bertujuan mencetuskan panik dalam kalangan pelabur sehingga harga saham Indonesia menjunam, sekali gus membuka peluang kepada pelabur asing membeli aset strategik negara itu pada harga murah.
Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan tersebut.
Jurucakap GIC menegaskan keputusan pelaburan syarikat itu dibuat berdasarkan prestasi dan asas kewangan sesebuah syarikat atau aset, bukannya klasifikasi indeks pasaran.
"Kami telah melabur di Indonesia selama lebih 30 tahun merentasi pelbagai kelas aset dan akan terus melabur apabila terdapat peluang yang sesuai," katanya.
Sementara itu, Ketua Pelaburan Temasek Global Investments bagi Asia Pasifik tidak termasuk China dan India, Fock Wai Hoong menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Menurutnya, tiada wakil atau kakitangan Temasek pernah menghubungi MSCI untuk mempengaruhi sebarang keputusan berkaitan klasifikasi bursa saham di rantau ini.
Pasaran saham Indonesia terjejas
Kontroversi itu tercetus selepas MSCI pada 15 Oktober lalu mengumumkan cadangan menurunkan status pasaran saham Indonesia berikutan kebimbangan mengenai ketelusan pemilikan saham, aktiviti perdagangan mencurigakan dan keberkesanan penguatkuasaan peraturan.
Pengumuman tersebut menyebabkan Indeks Komposit Jakarta menjunam lebih 14 peratus antara 16 hingga 19 Oktober.
Bagaimanapun, indeks itu kembali meningkat lima peratus pada Selasa selepas Bursa Efek Indonesia (BEI) mengumumkan langkah mengeluarkan syarikat yang mempunyai pemilikan saham terlalu tertumpu daripada indeks utamanya.
Pengarah Utama BEI, Jeffrey Hendrik turut mempertahankan kebebasan MSCI dengan menegaskan penyedia indeks global itu membuat keputusan secara bebas.
"Kami sentiasa percaya bahawa penyedia indeks global adalah bebas dan akan terus berpegang kepada pendirian tersebut," katanya.
Antara syarikat yang berpotensi terjejas oleh langkah BEI ialah Dian Swastatika Sentosa dan Barito Renewables Energy.
Sekiranya status Indonesia diturunkan, pasaran saham negara itu boleh diletakkan dalam kategori sama seperti Argentina, Lubnan dan Zimbabwe.
Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan saham Indonesia dikeluarkan daripada indeks global tertentu, sekali gus menjejaskan aliran pelaburan asing.
Bagaimanapun, MSCI menegaskan cadangan penurunan status itu masih dalam proses rundingan dan belum dimuktamadkan.
Pihak berkepentingan diberi tempoh sehingga 30 April 2027 untuk mengemukakan maklum balas, manakala keputusan akhir dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027. - Agensi