PENGUMUMAN kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sekali lagi menghidupkan naratif lama bahawa mahasiswa perlu “dibebaskan” daripada belenggu undang-undang tersebut.
Namun persoalan yang wajar ditanya: mahasiswa mahu dibebaskan daripada apa lagi? Hakikatnya, AUKU hari ini bukan lagi AUKU era 1970-an.
Dua pindaan besar telah mengubah landskap politik mahasiswa. Pada 2012, Seksyen 15 dipinda bagi membolehkan mahasiswa menyertai kegiatan parti politik di luar kampus.
Kemudian pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Seksyen 15(2)(c), sekali gus membuka ruang kepada mahasiswa menyertai aktiviti politik kepartian di dalam kampus.
Malah Kementerian Pendidikan Tinggi sendiri menjelaskan kepada Parlimen pada 2024 bahawa selepas pindaan 2012 dan 2019, mahasiswa bebas berpolitik di dalam dan di luar kampus dan kebebasan itu tidak boleh dihalang universiti.
Jika tujuan utama pemansuhan AUKU ialah memberikan kebebasan politik kepada mahasiswa, objektif tersebut sebenarnya telah pun dicapai.
Justeru apabila kerajaan sekarang mahu memansuhkan AUKU atas nama kebebasan mahasiswa, kerajaan perlu menjelaskan: apakah kebebasan yang masih dinafikan oleh AUKU hari ini?
Memang benar manifesto PH 2018 menjanjikan pemansuhan AUKU. Bagaimanapun janji itu lebih luas. PH mahu menjamin kebebasan akademik, kebebasan bersuara dan berpersatuan serta memberikan autonomi lebih besar kepada universiti, termasuk dalam pelantikan Naib Canselor.
Maka jika itulah motif sebenar kerajaan hari ini, katakan dengan jelas.
Adakah kerajaan mahu menghapuskan kuasa Menteri dalam pelantikan kepimpinan universiti? Mahu memberikan kebebasan akademik sepenuhnya? Atau mahu memindahkan sebahagian kuasa kerajaan kepada Lembaga dan Senat?
Semua itu boleh dibincangkan.
Namun autonomi juga tidak boleh bermaksud universiti bebas tanpa kawalan. Universiti awam menggunakan wang rakyat. Naib Canselor, Lembaga, Senat dan mahasiswa tetap memerlukan sistem semak dan imbang, akauntabiliti serta pengawasan.
Ironinya, PH sendiri pada 2018 mengakui bahawa autonomi universiti perlu disertai akauntabiliti dan check and balance.
AUKU memang mempunyai sejarah dan nama yang buruk kerana pernah menjadi simbol kawalan terhadap mahasiswa.
Tetapi undang-undang mesti dinilai berdasarkan apa yang terkandung di dalamnya hari ini, bukan semata-mata dosa sejarahnya.
Tujuan utama AUKU ialah menyediakan kerangka bagi penubuhan, penyenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej universiti.
Dalam akta tersebut terdapat 44 seksyen, 32 daripada membabitkan urus tadbir university dan hanya tujuh seksyen membabitkan mahasiswa itu pun sudah dipinda bagi memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa.
Cabaran utama kini bukan memansuhkan tetapi memastikan undang-undang tersebut memberikan keadilan kepada semua.
Jika mahu dimansuhkan sekali pun, undang-undang baharu tidak boleh digubal secara tergesa-gesa dan ia memerlukan penilitian yang mendalam.
Jangan sampai pemansuhan AUKU menjadi kemenangan retorik politik — menghapuskan sebuah nama yang tidak popular — sedangkan persoalan lebih besar mengenai tadbir urus, akauntabiliti dan semak imbang universiti masih belum terjawab.
Harus diingat tiada kebebasan mutlak di bawah mana-mana perlembahaan di dunia ini.
*Penulis ialah seorang pengamal komunikasi strategik yang pernah bertugas sebagai wartawan, setiausaha akhbar menteri dan pengawai khas komunikasi strategik kepada perdana menteri.